Lima kes kemalangan maut libatkan pekerja di Terengganu tahun ini

Lima kes kemalangan maut libatkan pekerja di Terengganu tahun ini

NOORAZMAN Soud (dua, kanan) meninjau Projek Pemulihan Muara Sungai Setiu selepas Majlis Sambutan Pencapaian 500,000 Masa Kerja Tanpa Kemalangan di Kampung Mangkuk, Setiu, semalam. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Terengganu merekodkan sebanyak lima kes kemalangan maut berlaku di tempat kerja dari Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarah JKKP Terengganu, Ir. Noorazman Soud berkata, kemalangan maut itu melibatkan pekerja dalam sektor pembinaan, perladangan dan perkapalan.

Sementara itu, katanya, jumlah kemalangan maut di tempat pekerja pada tahun lalu pula sebanyak 10 kes.

“Bagaimanapun kita dapati tahap kesedaran majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja semakin baik dan diharapkan kes kematian tersebut berkurangan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Pencapaian 500,000 Masa Kerja Tanpa Kemalangan di tapak Projek Pemulihan Muara Sungai Setiu dekat Kampung Mangkuk di sini, semalam.

Dalam pada itu, Noorazman berkata, sebanyak 98 kes kemalangan di tempat kerja dilaporkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Jumlah kemalangan itu membabitkan lima kes melibatkan kemalangan maut, hilang upaya kekal (tiga kes); tanpa hilang upaya kekal (80 kes) dan kejadian berbahaya (10 kes),” ujarnya.

Beliau memberitahu, sebanyak lapan syarikat di Terengganu dikompaun dalam tempoh yang sama kerana didapati  mengabaikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja.

Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan syarikat terlibat termasuk bekerja di tempat tinggi tanpa memakai pelindung diri (PPE) dan gagal memastikan tempat kerja pekerja selamat dan sihat ketika bertugas.

“Syarikat berkenaan telah dikenakan kompaun keseluruhan sebanyak RM20,500 di atas pelbagai kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×