SEPANG: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan diumumkan seawal minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nama calon yang bertanding itu diumumkan kelak oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, nama calon akan dimuktamadkan dan dibincang antara pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebelum dimaklumkan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Ramai calon yang layak dan insya-Allah kita umum pada minggu depan. Tarikh (umum calon) saya minta Rafizi cari dan umum minggu depan,” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, di sini hari ini.
Ditanya sama ada nama calon sudah dimuktamadkan dan dari parti PKR, Anwar berkata, setakat ini, ia (nama dari calon PKR) telah dicadangkan.
“Setakat ini dicadang begitu tapi kita akan muktamadkan dalam mesyuarat,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang sepakat menamakan calon daripada PKR untuk bertanding di PRK Sungai Bakap nanti.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, semua parti di bawah Kerajaan Perpaduan bersatu hati untuk memberi laluan kepada PKR berikutan kerusi berkenaan pernah ditandingi calon daripada parti tersebut dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.
Manakala, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini turut mengesahkan BN tidak meletakkan calon pada PRK Sungai Bakap kerana menghormati kerusi tradisi PH.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada 22 Jun ini.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – UTUSAN











