PETALING JAYA: Kekecohan berlaku ketika ketibaan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan di Kompleks Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini bagi prosiding sambungan atau penamatan reman.
Ketika pasangan itu tiba di mahkamah, bapa Zayn Rayyan menjerit ‘Ini semua fitnah, kami dianiaya’ disusuli oleh teriakan ahli keluarga mereka ‘Zaim, Isma you have to be strong’ sebelum pasangan terbabit dibawa masuk mahkamah.
Terdahulu, pasangan itu tiba di kamar mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi.
Kemudian, ahli keluarga mempamerkan bunting ‘Keadilan untuk Zayn Rayyan’ dan ‘Keadilan untuk Isma dan Zaim’ di perkarangan mahkamah.
Difahamkan, hari ini tempoh tujuh hari pasangan itu direman sejak 1 Jun lalu akan tamat.
Mahkamah pada hari ini dalam proses permohonan lanjutan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan akan memohon sambungan reman kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan pembunuhan mangsa. – UTUSAN










