PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu memaklumkan segera kekosongan tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti mana termaktub di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional (SCPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya berpendirian bahawa tujuh wakil rakyat terabit telah terhenti keahlian Bersatu selepas 31 Mei lalu apabila gagal mematuhi arahan parti bagi menyatakan kesetiaan dalam masa 14 hari seperti diperuntukkan oleh Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.
SCPP menjelaskan, apabila ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan atau tidak lagi menjadi ahli Bersatu, kerusi disandang perlu dikosongkan seperti diperuntukkan oleh undang-undang antilompat parti dan perlembagaan Bersatu.
“Pelepasan keahlian oleh Bersatu tidak boleh disalah ungkap sebagai pemecatan, yang mempunyai implikasi perlembagaan yang berbeza.
“Malah perkara ini juga tidak boleh ditafsirkan secara tidak munasabah sebagai tindakan yang menyebabkan aplikasi retrospektif (kebelakang). Pindaan kepada perlembagaan Bersatu telah memasukkan Fasal 10.4 telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 1 April lalu, lama sebelum arahan Bersatu yang dikeluarkan pada 17 Mei,” kata SCPP, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan seorang ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
Justeru, SCPP menjelaskan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San perlu memaklumkan SPR kekosongan kerusi dalam tempoh 21 hari dari notis oleh Bersatu.
“Hal ini disebabkan keempat-empat ahli Parlimen dan seorang ADUN Selangor telah dipilih sebagai ahli Perikatan Nasional (PN) melalui keahlian Bersatu, pemberhentian tersebut menyebabkan kerusi mereka dikosongkan dengan penguatkuasaan Perkara 49A(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan serupa di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor,” katanya.
Bagaimanapun SCPP menjelaskan, pengecualian terhadap Mohd. Azizi dan Zahari yang bertanding atas tiket Pas ketika Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Pelepasan keahlian untuk Mohd. Azizi sebagai Ahli Parlimen Gua Musang dan ADUN Nenggiri di Kelantan dan Zahari Kechik (Ahli Parlimen Jeli) tidak menyebabkan kerusi tersebut dikosongkan kerana mereka telah dipilih sebagai calon Pas dan bukannya sebagai ahli PN,” katanya.
Dalam pada itu, SCPP memaklumkan, Bersatu tidak perlu menunggu sehingga Dewan Rakyat bersidang pada 24 Jun untuk memaklumkan perkara ini kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ia wajar dilakukan secara profesional serta tidak dijadikan permainan politik.
“Penangguhan maklum kepada Speaker Dewan Rakyat akan mengganggu proses sewajarnya dan persediaan SPR untuk pilihan raya kecil (PRK) yang perlu berlaku,” katanya
SCPP menjelaskan, sebarang penangguhan yang disengajakan atau keingkaran kepada peruntukan perlembagaan akan mencemar institusi Parlimen dan DUN serta integriti mereka.
“Dalam sebarang pertikaian keputusan Speaker, mahkamah tidak boleh melepaskan fungsinya dan enggan mengadili atas alasan ‘pemisahan kuasa’ yang tidak munasabah.
“Sekiranya Speaker boleh membuat keputusan dengan wewenang atas isu yang sangat bersifat politik ini sebagaimana dibuktikan dalam pengalaman Dewan Undangan di India, undang-undang antilompat parti akan diperalatkan secara sangat partisan sebagai senjata menikam demokrasi dan bukan sebagai perisai melindungi demokrasi,” katanya. – UTUSAN











