Menepis salah faham terhadap Felda

Menepis salah faham terhadap Felda

AHMAD Shabery Cheek (tiga dari kiri) dan Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) dalam majlis perasmian Karnival Segalanya Felda Peringkat Wilayah Jengka-Kuantan pada 2 Jun lalu. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FELDA atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, seringkali disalah faham sebagai entiti perniagaan yang perlu berfungsi serupa syarikat-syarikat perladangan besar lain seperti Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), Sime Darby, atau United Plantation.

Tidak hanya itu, terdapat juga kata-kata sinis yang dilontarkan mengatakan bahawa Felda merupakan sebuah entiti yang tidak menguntungkan.

Namun, apa yang perlu kita fahami dengan jelas adalah Felda bukan sekadar organisasi yang berorientasikan untung rugi semata-mata. Ia adalah sebuah institusi yang berakar umbi dalam nilai-nilai pembangunan komuniti, pendidikan, keagamaan dan kesejahteraan sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berbeza dengan model perniagaan korporat yang lain, syarikat-syarikat besar itu memiliki landasan yang jelas seperti memiliki tanah, menggerakkan tenaga kerja, menghasilkan produk, dan menjualnya. Jika operasi menguntungkan, perniagaan itu diteruskan tetapi jika rugi, maka ia ditutup.

Banyak daripada mereka juga berpeluang untuk mengalihkan tanah untuk tujuan pembangunan perumahan atau komersial kerana itu lebih menguntungkan daripada perusahaan perladangan. Tenaga kerja pula diambil dan dihentikan berdasarkan keuntungan semata-mata.

Itu bukan dasar Felda. Di Felda, prinsip utama yang dipegang adalah untuk terus menjaga kebajikan peneroka. Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, Felda amat memahami bahawa kejayaan dan kestabilan hidup peneroka merupakan tonggak utama dalam misi organisasi ini sendiri.

Organisasi ini meneroka pelbagai strategi dan pendekatan yang boleh digunakan untuk mengoptimumkan hasil sekali gus mengekalkan operasi yang berlanjutan. Ini termasuk memperbaiki teknik pertanian, memperkenalkan tanam semula atau meningkatkan infrastruktur dan sumber yang ada.

Walau dalam apa keadaan sekalipun, agensi ini tidak pernah mengabaikan peneroka. Felda terus komited untuk memastikan bahawa kehidupan mereka tetap terjaga. Ini dapat dilihat dengan pelbagai inisiatif atau bantuan sosial dan ekonomi untuk membantu mereka menghadapi masa-masa sukar.

LEGASI ABDUL RAZAK
Felda bukan sekadar hasil usaha, tetapi ia merupakan manifestasi dari idea besar Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Sebagai arkitek utama Felda, Abdul Razak mempunyai visi yang jelas dan jitu untuk mengangkat taraf kehidupan rakyat Malaysia, khususnya golongan masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan melalui pemberian tanah dan peluang ekonomi baharu.

Visi beliau adalah untuk membentuk sebuah komuniti yang bukan hanya mampu bertahan secara ekonomi tetapi juga menjadi nadi pembangunan sosial dan ekonomi negara. Melalui Felda, Abdul Razak berusaha menghapuskan kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi dengan cara menyediakan tanah kepada rakyat serta infrastruktur dan pendidikan yang diperlukan untuk memajukan diri dan komuniti mereka.

Dari perspektif ekonomi, Abdul Razak memberi 10 ekar tanah kepada setiap peneroka, satu langkah yang bukan hanya meningkatkan taraf hidup tetapi juga mencipta generasi baharu jutawan Melayu, berkat peningkatan nilai tanah yang mereka usahakan. Felda telah melahirkan 317 tanah rancangan yang menaungi lebih dari 112,000 peneroka dan tanpa visi besar seperti yang ditunjukkan oleh Abdul Razak, hal ini tidak mungkin terjadi.

GENERASI BAHARU, CABARAN BAHARU
Kini, setelah hampir tujuh dekad berlalu, Felda melalui banyak perubahan. Organisasi ini tidak hanya menyaksikan pertumbuhan tanaman dan hasil bumi tetapi juga pertumbuhan generasi kedua, ketiga, keempat, bahkan generasi kelima peneroka.

Dalam perjalanannya, Felda menghadapi pelbagai cabaran yang datang bersama perubahan zaman dan keadaan global yang terus berubah. Namun, di tengah perubahan dan cabaran tersebut, asas yang telah diletakkan oleh agensi itu tetap kukuh, menjamin kelangsungan hidup dan kesejahteraan setiap peneroka.

Dunia kini telah berubah dengan begitu radikal. Dengan revolusi teknologi, perubahan iklim dan pergeseran ekonomi global, cabaran yang dihadapi oleh generasi baharu peneroka semakin kompleks. Namun, di sinilah komitmen Felda menjadi lebih penting selain organisasi ini terus komited untuk menjadi sebahagian dari penyelesaian, bukan menjadi sebahagian dari masalah.

Felda berusaha dengan gigih untuk mencari dan menerapkan penyelesaian yang inovatif untuk memastikan bahwa kehidupan peneroka terus bertambah baik, tidak kira generasi apa pun. Di tengah cabaran dan kesukaran, Felda tetap teguh dengan prinsip asalnya untuk mendukung, memperkaya kehidupan dan menjaga kebajikan para peneroka.

HARI PENEROKA
Felda ada segalanya. Diinspirasikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, semua aspek inovasi dan keberhasilan yang telah dicapai dipamerkan secara besar-besaran dalam setiap Karnival Segalanya Felda, yang akan mencapai kemuncaknya di Hari Peneroka Felda 2024.

Acara yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam, bermula pada 12 hingga 14 Julai ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, adalah karnival terbesar yang pernah diadakan untuk meraikan warga Felda.

Hari Peneroka Felda 2024 bukan sekadar perayaan, tetapi sebuah platform dinamik untuk menunjukkan segala yang telah dicapai agensi ini. Dengan tema warna oren dan putih akan memenuhi karnival tersebut, simbol kebanggaan dan kegembiraan, mengukir semangat ‘Bangga Menjadi Bangsa Felda” dalam hati setiap peserta.

Menurut Ahmad Shabery, Hari Peneroka ini bertujuan untuk mengumpulkan warga Felda yang bertebaran di seluruh negara, membawa mereka kembali ke akar umbi untuk bersama-sama merayakan dan menghargai jalan yang telah mereka tempuh. Ini adalah kesempatan unik untuk merapatkan barisan, bertukar cerita dan pengalaman selain bersama-sama menghadapi masa depan dengan pemikiran yang lebih positif.

Felda bukan hanya tentang ladang sawit atau tanah atau sebuah organisasi yang hanya memikirkan keuntungan sebaliknya ia adalah tentang kehidupan, pendidikan, keusahawanan, dan kesihatan.

Felda adalah segala-galanya. Sebuah legasi yang akan terus hidup melalui generasi yang akan datang, membentuk sebuah bangsa Felda yang unik dan kuat.

Semoga sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang akan berlangsung ini akan mampu memperteguh semangat dan komitmen semua warga Felda untuk melonjakkan kembali agensi ini seterusnya menepis salah faham mengenainya.-UTUSAN

NURUL Ashiqin Shamsuri merupakan generasi ketiga Felda dan kini sedang mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Digital di Asia Pacific University.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×