Haji lambang penyatuan umat

Haji lambang penyatuan umat

PERHIMPUNAN ummah pada musim haji adalah iktibar paling bermakna betapa Islam menekankan dan mementingkan kehidupan umat yang saling bersatu padu. – GAMBAR TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH dan syabas kepada semua tetamu Allah yang terpilih dan berpeluang menunaikan haji pada 2024 bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.

Pelaksanaan ibadah haji membawa mesej dan pengajaran yang amat penting tentang kesatuan ummah yang harus dihayati oleh umat Islam di seluruh dunia.

Penyatuan umat Islam di seluruh dunia berdasarkan kepada keyakinan dan akidah yang sama iaitu menyembah Tuhan yang satu iaitu Allah.

Pelaksanaan solat dan tawaf di Kaabah menjadi lambang kesatuan umat Islam kerana walau di mana berada, tetap perlu menghadap ke arah dan berkumpul di tempat yang sama untuk menunaikan ibadah kepada Allah.

Akidah Islam yang menganjurkan umatnya berpegang teguh dengan keimanan dan keyakinan terhadap Allah sebagai pencipta seluruh makhluk di alam ini menerapkan konsep tauhid dan persamaan sesama manusia.

Berasaskan konsep tauhid, setiap insan adalah makhluk yang diciptakan Allah. Oleh itu, setiap insan adalah sama dan saling bersaudara antara satu sama lain.

Kedudukan umat Islam bertambah istimewa kerana persaudaraan insaniah diteguhkan lagi dengan tali keimanan berasaskan akidah Islam atau dalam erti kata lain, umat Islam bukan sahaja disatukan sebagai saudara insaniah, malah diperkukuhkan hubungan sebagai saudara seakidah.

Persaudaraan seakidah yang terbina dari dasar tauhid, iaitu perakuan terhadap keimanan kepada Allah yang Esa dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah membawa umat Islam berhimpun setiap tahun di Mekah bagi menunaikan haji.

Umat Islam membina keteguhan jiwa dan semangat persaudaraan akidah yang dijalin oleh tali kepercayaan Islam. Perhimpunan musim haji menunjukkan dengan jelas penerapan konsep perpaduan dan jiwa persaudaraan.

Perhimpunan perdana tahunan terbesar umat Islam sedunia dari pelbagai tempat yang berbeza, bangsa yang berbilang, warna kulit, adat resam, tradisi dan budaya yang berlainan dalam melaksanakan ibadah haji.

Pakaian ihram yang sama melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan. Pakaian putih yang tidak berjahit seperti kain kafan yang akan membaluti tubuh ketika mati nanti.

Syiar perpaduan ummah tercerna menerusi kesatuan hati seluruh umat Islam bagi menyempurnakan ibadah yang telah diperintahkan. Masyarakat Islam dari pelbagai rupa dan keturunan berkumpul menyempurnakan kewajipan agama dengan rasa persamaan sebagai makhluk insan di bumi ini.

Kelainan dan perbezaan taraf, darjah, pangkat dan harta antara yang dimiliki setiap masyarakat Islam bukan lagi jurang pemisah, bahkan semua umat Islam pada musim haji adalah sama pada pandangan Allah.

Perkara yang membezakan darjat manusia di sisi Allah hanyalah ketakwaan yang dimilikinya. Penyatuan ummah dari seluruh pelosok dunia bukan hanya melancarkan proses ibadah dan aktiviti spiritual yang dilakukan, tetapi juga lambang kekuatan dalam mempertahankan ajaran Islam pada setiap masa.

Perhimpunan ummah pada musim haji adalah iktibar paling bermakna betapa Islam menekankan dan mementingkan kehidupan umat yang saling bersatu padu.

Sewajarnya perpaduan ummah yang terjelma dalam perhimpunan umat Islam pada setiap kali musim haji hendaklah diterapkan dalam setiap dimensi dan aspek kehidupan sosial, politik dan ekonomi.-UTUSAN

PROFESOR. MADYA DR. AZRI BHARI
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×