SPR belum terima petisyen PRK Kuala Kubu Baharu

SPR belum terima petisyen PRK Kuala Kubu Baharu

SEORANG petugas SPR membuat persiapan PRK - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima sebarang petisyen daripada mana-mana pihak bagi membantah keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusinya, Dr. Azmi Sharom dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung PRK DUN Sungai Bakap di sini hari ini.

“Setakat ini tidak ada (petisyen),” katanya ringkas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan sebarang petisyen yang ingin dibuat perlu dilakukan selepas 21 hari pihak suruhanjaya itu mengeluarkan keputusan rasmi PRK Kuala Kubu Baharu.

Bagaimanapun keputusan mengadakan petisyen adalah terpulang kepada kepimpinan dan parti masing-masing namun perlu mengikut peraturan.

Isu petisyen itu susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memberitahu, Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH menang pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut susulan kerajaan telah melakukan salah guna kuasa dan jentera sebelum dan semasa kempen PRK berlangsung.

Pakatan Harapan (PH) menerusi calon mereka, Pang Sock Tao memenangi PRK itu yang diadakan pada 11 Mei lalu sekali gus menyaksikan gabungan itu berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.

Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi dan memperolehi 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya, sementara pencabar utama daripada PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.

Sementara itu, ditanya mengenai persempadan semula bagi DUN Sarawak yang dijangka dilaksana tahun ini, Azmi berkata, SPR belum lagi berbincang berhubung perkara itu.

“Saya tiada komen, setakat ini di SPR, kita belum berbincang lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×