Kastam gagalkan cubaan seludup alat mainan dewasa, kontraban

Kastam gagalkan cubaan seludup alat mainan dewasa, kontraban

NORLELA Ismail menunjukkan antara Alat Permainan Dewasa dan Kontraban yang disita dalam ‘Ops Publika’ dalam sidang akhbar di Petaling Jaya, hari ini. -UTUSAN/M FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Unit l Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup alat mainan dewasa dan kontraban hasil maklumat risikan dan aduan orang awam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Norlela Ismail berkata, pasukan operasi dari bahagian penguatkuasa JKDM Zon Tengah Unit l (WPKL)  berjaya menyita dagangan alat mainan dewasa yang disyaki tidak berkastam melalui serbuan di sebuah gudang logistik di Shah Alam, Selangor.

Katanya, hasil serbuan menemukan sejumlah dagangan yang disyaki alat mainan dewasa pelbagai jenis dan jenama berjumlah 11,220 unit dengan anggaran RM2.04 juta di mana dagangan tersebut diklasifikasi sebagai barangan Larangan Mutlak di bawah Jadual Pertama, Butiran Lima, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. 

“Modus operandi utama yang dijalankan adalah membuat pengikraran palsu di dalam Borang Kastam 1 sebagai mainan kanak-kanak dan dagangan tersebut dibawa ke gudang logistik untuk disimpan sebelum dijual secara pukal kepada pemborong tempatan.

“Penyelia gudang berusia 60 tahun direman untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norlela berkata, sebanyak 40 serbuan telah dilakukan di beberapa permis di sekitar Lembah Klang dan ia melibatkan penyeludupan kontraban.

Katanya, sejumlah 3,506 liter minuman keras dan 355,100 batang rokok telah disita membabitkan anggaran nilai dan cukai sebanyak RM475,267.

“Pengimportan minuman keras dan rokok adalah tertakluk kepada lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya.

Menurut Norlela, susulan serbuan dan pemeriksaan, pihaknya turut menahan 16 orang bagi membantu siasatan.

Kedua-dua kes masih lagi dalam siasatan bagi mengesan modus operandi penyeludupan dan mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya. 

Anggaran keseluruhan nilai dan cukai Ops Publika adalah sebanyak RM 5.3 juta yang merangkumi pelbagai kes antaranya penyeludupan rokok, minuman dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

Kedua-dua kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport atau mengeksport apa-apa barang tak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×