KUALA LUMPUR: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang didakwa diserang pengiring kepada orang kenamaan tiba di Ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan hari ini.
Mangsa yang juga pemandu e-hailing, Ong Ing Keong, 46, dijangka diambil keterangan oleh polis buat kali kedua.
Lelaki berstatus OKU pekak dan bisu itu tiba ke pekarangan pondok kawalan Keselamatan tepat pukul 10.45 pagi ini.
Peguam dari Lawyer For Liberty terdiri daripada N. Surendran dan Latheefa Koya yang mewakili mangsa turut hadir bersama lelaki terbabit.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes anggota pengiring didakwa memukul pemandu Grab di sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lalu.
Beliau dilaporkan berkata, pegawai-pegawai yang terlibat dalam insiden ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.
“Langkah ini diambil secara menyeluruh dan semua pihak terlibat dapat memberikan keterangan mereka. Keutamaan siasatan untuk memastikan tiada pelaku terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah,” katanya.
Minggu lalu, media melaporkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dipercayai punca seorang pemandu e-hailing didakwa diserang pengiring kepada rombongan kenamaan dalam kejadian di sebuah hotel di Brickfields dekat sini pada 28 Mei lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
“Bagaimanapun, pada 9.59 malam tadi, pengadu membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes,” katanya. – UTUSAN
PEMANDU Grab berstatus OKU pekak dan bisu (kiri) hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan kali kedua hari ini. – UTUSAN










