Anak Hamzah Zainudin didakwa terima rasuah RM100,000

Anak Hamzah Zainudin didakwa terima rasuah RM100,000

MUHAMMAD Faisal Hamzah hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM100,000. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000 dengan menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan tender daripada sebuah syarikat, enam tahun lalu.

Muhammad Faisal Hamzah, 40, yang juga perunding sebuah syarikat meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, MuhammadFaisal didakwa secara rasuah menerima satu suapan bagi dirinya, iaitu wang tunai sebanyak RM100,000 daripada seorang individu.

Ia didakwa sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran disebabkan pengaruh yang dimilikinya.

Seterusnya syarikat-syarikat itu didakwa dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu Berhad dianugerahkan Tender No. SSM 1/2017 `Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure’ bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas di sini pada Mac 2018.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan
penjara tidak melebihi 20 tahun dan
didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM di sini dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira latar belakang tertuduh pada kes ini, yang mana dia merupakan seorang anak bekas Menteri,” kata Mahadi.

Bagaimanapun, peguam Ravinder Singh Dhalliwal yang mewakili Muhammad Faisal merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Pembelaan tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan, namun Muhammad Faisal perlu ke negara, untuk pembukaan sebuah asrama di Thailand,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan pendakwaan selain disenarai hitam ke luar negara.

Tarikh 5 Julai ini ditetapkan sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×