KUALA LUMPUR: “Apabila ayah sudah tiada, saya terkejut lalu menangis.”
Demikian reaksi nak sulung pelakon dan penyair terkenal Allahyarham Pyanhabib Rahman, Najiha ketika mengenai pemergian bapanya yang menemui pencipta semalam.
“Sebagai anak saya sangat terkejut dan sudah tentu, apabila dapat tahu ayah sudah tiada, saya menangis.
“Saya berada di rumah dekat Negeri Sembilan Sewaktu dikhabarkan oleh ibu saya mengenai berita itu menerusi panggilan telefon.
“Ibu meminta saya segera pulang tanpa penjelasan. Saya kemudian terus bergegas ke Kuala Lumpur,” katanya.
Najihah berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Masjid As-Sobirin, Keramat AU4, pagi tadi.
Berkongsi lanjut, Najihah memaklumkan bapanya yang sebelum ini mengalami bengkak kaki dan batuk sempat mendapatkan rawatan di klinik Selasa lepas.
Pelakon filem Kembara Seniman Jalanan itu juga sempat membuat panggilan video bersama anak-anak dan cucunya yang berada di Negeri Sembilan.
“Pagi semalam, ibu memaklumkan sempat bawa ayah ke klinik sebab kakinya bengkak dan batuk . Perutnya ketika itu juga sedikit kembung.
“Doktor di klinik nasihatkan beliau dibawa ke hospital selepas dua hingga tiga hari keadaannya dipantau.
“Selepas Maghrib, keadaan ayah semakin lemah. Dia sempat buat panggilan video dengan saya dan cucunya. Ibu beritahu penglihatannya juga merosot.
“Saya tak tahu apa yang terjadi di rumah sebab ada selain ayah, nenek juga sakit. Dalam perjalanan ke KL, kawan ayah arwah memaklumkan ayah sudah tiada,” katanya.
Terdahulu, pelakon dan penyair, Mohd Supyan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib Rahman, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di AU4 Keramat malam semalam.
Allahyarham yang mengalami sakit tua baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-66 kira-kira seminggu lalu.











