Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang siap Jun 2026 - Utusan Malaysia

Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang siap Jun 2026

Jambatan
RIZAM Ismail (tengah) bersama jurutera dan kakitangan JKR ketika meninjau projek pembinaan jambatan itu di Kampung Sungai Air Tawar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Jambatan sepanjang 2.8 kilometer (km) menghubungkan Sungai Air Tawar, di sini ke Hutan Melintang, Perak yang sepatutnya siap pada Mei tahun hadapan berdepan kelewatan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun 2026.

Kelewatan tersebut berlaku berikutan terdapat masalah pada reka bentuk jambatan merentasi Sungai Bernam itu yang menelan belanja sehingga RM220 juta.

Bagaimanapun pembinaannya itu mampu memendekkan jarak perjalanan sehingga 40km bagi penduduk setempat antara kedua-dua negeri tersebut.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kemajuan fizikal projek kerajaan Persekutuan melibatkan peruntukan RM219 juta itu sudah mencapai tahap 28 peratus ketika ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu, jambatan baharu berkenaan kelak akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di 18 buah kampung seluruh DUN tersebut.

“Selain menjimatkan tempoh perjalanan lebih 30 minit, projek itu berupaya merancakkan lagi ekonomi setempat, pembangunan dan pelancongan di kawasan ini.

“Pembukaan jambatan itu juga dapat mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan memudahkan urusan penduduk antara dua negeri,” katanya. selepas meninjau pembinaan projek itu di Kampung Sungai Air Tawar, hari ini.

Jelasnya, Penduduk kawasan itu ketika ini perlu menggunakan jambatan utama di Sabak Bernam di Jalan Sabak Bernam – Teluk Intan yang mengambil masa lama untuk ke Hutan Melintang.

Sementara itu, Mohamad Adib Salihin, 44, berkata pembinaan infrastruktur asas berkenaan amat dinantikan penduduk sejak sekian lama.

“Isteri saya kini terpaksa menempuh laluan yang agak jauh untuk menuju ke tempat kerjanya di sebuah hospital di Teluk Intan. Jambatan baharu itu kelak akan menjadikan jaraknya lebih dekat dan kami berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” luah bapa kepada empat anak itu.

Bagi peniaga, Muhamad Ibrahim Januri, 61, kemudahan itu juga akan memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat setempat.

“Kita tidak mahu kawasan Sungai Air Tawar ini menjadi ‘pekan mati’ dan pembukaan jambatan itu bakal memberi nafas baharu kepada penduduk,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN