JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan beberapa insentif termasuk pengecualian cukai bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam pembentangan Belanjawan 2025, Oktober depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu secara tidak langsung bagi menarik lebih banyak kemasukan pelabur termasuk pemain industri halal dari dalam dan luar negara.
Katanya, perkara itu antara permintaan yang diutarakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi menggalakkan kemasukan pelaburan untuk melonjakkan industri di negeri ini.
“Salah satu insentif yang disuarakan Menteri Besar ialah ‘tax holiday’ (pengurangan atau penghapusan sementara cukai), saya fikir ia mungkin boleh dipertimbangkan.
“Saya akan merujuk perkara ini kepada Perdana Menteri, esok dan akan terus memanjangkan perkara ini, harapnya Perdana Menteri dapat mempertimbangkan inisiatif ini kepada pemain industri halal dan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 nanti,” katanya selepas merasmikan Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Terdahulu, Onn Hafiz dalam ucapannya, mencadangkan supaya beberapa inisiatif khas diberikan oleh pihak kerajaan bagi menarik pelabur di zon ekonomi khas itu termasuk pengecualian cukai. – UTUSAN











