JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencabar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya dapat memendekkan lagi tempoh memproses pensijilan halal dalam 15 hari berbanding 23 hari sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini susulan kejayaan Jakim mempercepatkan tempoh berkenaan daripada 30 menjadi 23 hari pada tahun lalu.
“Ini adalah kejayaan cukup baik dan tentunya apa yang kita mahu selepas Halal On Track (HOT) ini dilancarkan, diharapkan lebih banyak kelulusan permohonan sijil halal dapat dilakukan. Saya sudah arahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk peruntukan RM5 juta setahun untuk bantu pemohon (pensijilan halal) mengikuti model bimbingan Jakim supaya permohonan pensijilan halal dapat dikeluarkan dalam tempoh singkat.
“Jika Jakim dibantu dengan model bimbingan ini sudah pasti sijil halal dapat diberi kelulusan bukan setakat 23 hari, malah saya cabar Jakim dapat keluarkan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Perasmian Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Halal Development Corporation (HDC) dan Jakim akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal, khususnya untuk pengeksport produk halal.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yakin kecekapan Jakim mampu memendekkan pemprosesan sijil halal menjadi 15 hari.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, i-Bimbing 2.0 yang dilancarkan mampu membantu usahawan menilai tahap kesediaan mereka sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sekali gus memendekkan proses pensijilan halal dikeluarkan.
“Selain itu, Hal-Cube yang dilancarkan hari ini adalah inisiatif Bank Islam disokong Jakim bagi mempersiapkan usahawan memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Hal-Cube menawarkan usahawan premis produksi yang mampu milik dan lengkap berbentuk dapur kontena sebagai usaha memudahkan mereka memenuhi kriteria digariskan Jakim, sekali gus mempercepatkan pengeluaran sijil halal,” katanya.










