KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh dibicarakan pada 10 September ini bagi pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa selama 15 tahun berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Hakim Suzana Hussin memerintahkan tertuduh dibicarakan selama 15 hari iaitu pada 10 dan 11 September, 29 dan 30 Oktober, 6 dan 7 November serta 4, 5, 9 hingga 12 Disember ini selain pada 7 hingga 9 Januari tahun depan.
Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan bahawa pihaknya telah berbincang dengan pasukan pembelaan dan kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh perbicaraan tersebut.
Peguam Weera Premananda mewakili Abdul Hamid Shaikh mengesahkan perkara itu. Seramai 15 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.
Pada 5 April2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar yang ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, menawarkan suapan itu kepada Ser Lay, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh serupa.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.










