BACHOK: Kerajaan mahu meningkatkan penghasilan daging negara lebih 100,000 tan metrik setahun pada 2030 berbanding 47,000 tan metrik ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap tahun negara memerlukan kira-kira 200,000 tan metrik daging untuk menampung permintaan dan keperluan penduduk.
Menurutnya, hasrat itu mampu dicapai menerusi sokongan berbentuk moral, kepakaran dan pembiayaan kepada mereka yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan usaha ini.
Ujarnya, pihak kementerian turut meminta pengusaha sedia ada untuk meningkatkan lagi jumlah pengeluaran mereka.
“Kita turut mengharapkan kerjasama kerajaan negeri untuk memberi peluang kepada penternak yang mahu membuka ladang-ladang baharu. Hal ini kerana tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.
“Terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Johor yang masih mempunyai tanah banyak untuk diusahakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan HL Agro Fram KB Sdn. Bhd di Kampung Sri Kemunting, Gunung di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, beliau percaya jika semua pihak memberikan sokongan penuh sasaran itu mampu dicapai.
Katanya, bidang penternakan menjadi masa depan yang cerah kerana ia merupakan salah satu sumber keperluan bekalan makanan negara.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, bekalan lembu korban di negara ini mencukupi dan mampu menampung permintaan umat Islam.-UTUSAN











