PETALING JAYA: Agrobank bersama PayNet dan Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Program Komuniti Cashless di Pentas Budaya, Kundasang baru-baru ini, dalam langkah menuju ke arah transformasi digital.
Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam ini menjadikan Kundasang sebagai komuniti tanpa tunai, selaras dengan visi kerajaan negeri Sabah untuk meningkatkan penggunaan dan akses kepada pembayaran digital.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada pihak yang memberi sumbangan dalam transformasi kepada komuniti tanpa tunai di Sabah.
Katanya, Program Komuniti Cashless ini membuktikan komitmen bank dalam meningkatkan akses kepada pembayaran digital.
“Didikan tentang penggunaan transaksi atas talian dan pembayaran melalui kod QR kepada penduduk setempat dan penjaja adalah bertujuan untuk mewujudkan ekonomi yang lebih mudah, telus dan inklusif.
“Kami berharap inisiatif ini akan diluaskan ke kawasan-kawasan di luar Sabah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan dan keselamatan transaksi digital,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Program Komuniti Cashless yang dilancarkan Agrobank merupakan sebahagian daripada inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.
Jelasnya, ia bertujuan untuk mendorong pertumbuhan teknologi digital serta menjadi pemacu ke arah transformasi ekonomi dan kewangan di seluruh negara.
Tambahnya, Program Penjaja Cashless di Pasar Malam Api-Api, Kota Kinabalu yang diadakan pada Oktober 2023 adalah perintis kepada inistiatif ini.
“Selain itu, program ini juga telah dilancarkan di Pasar Tamu Sook, Keningau pada Februari 2024.
“Oleh itu, Program Komuniti Cashless yang dilancarkan pada inii adalah usaha berterusan Agrobank dalam mewujudkan ekonomi yang lancar, mudah dan telus melalui pembayaran digital,” ujarnya.-UTUSAN










