KLUANG: Proses bedah siasat ke atas empat ekor gajah yang ditemukan mati berhampiran Felda Kahang Timur, dekat sini selesai dan bangkainya ditanam di lokasi penemuan pada Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, keputusan bedah siasat hanya akan dimaklumkan selepas selesai ujian kimia dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga minggu.
“Diharapkan kejadian seumpama ini tidak berulang kerana selain menyalahi undang-undang seandai dengan sengaja membunuh binatang kawalan sama ada dengan racun atau cara lain.
“Sebarang konflik dengan gajah atau binatang-binatang liar yang lain seharusnya dilaporkan kepada pihak berkaitan agar dapat dicari jalan penyelesaian dengan cara baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi penemuan bangkai gajah di Kampung Sri Timur itu mendapati tiada sebarang aktiviti pertanian dilakukan pekebun atau pemilik tanah kecuali bekas tanah di gali dipercayai tempat gajah ditanam.
Seorang penduduk Kampung Ilham yang terletak bersebelahan dengan tempat penemuan bangkai gajah itu, Rosli Mohamad, 60, berkata, tidak dapat dipastikan punca kumpulan gajah itu mati secara mengejut di kawasan itu.
Mungkin kumpulan gajah itu terlebih dahulu makan sesuatu di tempat lain dan menjadikan lopak air di kawasan penemuan bangkai untuk mendapatkan minuman.
“Apa pun alasan, meletakkan racun dalam makanan sehingga membunuh gajah-gajah ini adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan dan seharusnya dikenakan tindakan sewajarnya jika benar sebab kematian berpunca daripada racun,” katanya. – UTUSAN











