AFO, Perlis Border Girls juara Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s 2024 - Utusan Malaysia

AFO, Perlis Border Girls juara Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s 2024

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama para pemain pasukan kelab ragbi All For One (AFO) dari Bangkok, Thailand yang muncul juara bagi kategori lelaki dalam kejohanan Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s 2024 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kelab ragbi All For One (AFO) dari Bangkok, Thailand muncul juara bagi kategori lelaki terbuka selepas menewaskan Serdang Angels dari Universiti Putra Malaysia (UPM) 15-12 dalam perlawanan akhir kejohanan Takaful Ikhlas Perlis Royal 7s 2024 yang berlangsung cukup sengit di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini semalam.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan dari Thailand itu membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 berserta piala manakala Serdang Angels selaku naib juara menerima RM4,000 dan pingat.

Bagi kategori wanita terbuka pula, juara menjadi milik Perlis Border Girls yang menumbangkan DKI Jakarta dari Indonesia dengan keputusan 26-10 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan pingat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan bersempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-81 itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama pada kejohanan tersebut, anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin; Penaung Persatuan Ragbi Perlis (PRP), Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail dan Presiden PRP, Syed Hazrain Syed Razlan Jamalullail.

Kejohanan itu dianjurkan Persatuan Ragbi Perlis dengan kerjasama Takaful Ikhlas Berhad, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Jabatan Pendidikan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya negeri yang melibatkan 12 pasukan lelaki dan lima pasukan wanita.

Baginda bertitah, penganjuran kejohanan seumpama ini wajar diperbanyakkan lagi melibatkan sukan-sukan lain di negeri ini.

“Ia juga dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan sukan sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 yang sedang rancak berlangsung sekarang,” titah baginda.

Sementara itu, Wan Zikri berkata, kerajaan negeri melihat kejohanan tersebut mungkin boleh dianjurkan secara tahunan memandangkan penyertaan yang diterima sangat memberangsangkan ditambah pula penajaan yang terbaik daripada Takaful Ikhlas.

“Pertama sekali, syabas dan tahniah kepada penganjur serta penaja Takaful Ikhlas yang berjaya menganjurkan kejohanan sangat berprestij kerana ia berjaya menghimpunkan pelbagai atlet ragbi bukan hanya di Malaysia tetapi Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia.

“Selain itu, melihat kepada penganjuran ini, saya berasa bahawa ia patut dijadikan sebagai acara tahunan dalam membangunkan sukan ragbi di peringkat akar umbi serta menggalakkan pelancongan di negeri Perlis bersempena TMPs,” katanya.

Tambah Wan Zikri yang juga Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis berkata, kejohanan ini juga mampu bertindak sebagai pembangunan atlet muda Perlis dalam sukan ragbi di mana Perlis adalah antara negeri yang disegani dalam sukan ragbi kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini