SHAH ALAM: Kemajuan negara tidak seharusnya tertumpu kepada fizikal dan pembangunan akal semata-mata, ia sepatutnya disertai pengisian kerohanian khususnya akidah dan akhlak Islam dalam negara madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran Turath Islami Selangor kali kedua sebagai contoh yang menyemarakkan dorongan dan memuliakan Nabi Muhammad SAW yang mempunyai kaitan dengan pembangunan negara madani.
Menurutnya, negara seharusnya aman, mempunyai pembangunan yang lebih pacu serta menggapai dan meneroka peluang-peluang baharu termasuk berkaitan digital serta kecerdasan buatan (AI).
Negara madani mesti berakar kepada akidah kita, mesti berakar kepada nilai dan akhlak Islam yang menuntut kita untuk kembali menjiwai roh Islam dan memuliakan Nabi Muhammad SAW.
“(Mufti Besar Mesri) Sheikh Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab dan para arbain dalam mengupas menyatakan bahawa keikhlasan itu berpunca daripada tahap kasihnya kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad, apakah usaha kita di rumah, di sekolah, di pejabat, di kementerian, dalam kerajaan, dalam kehidupan, itu terpancar dari hati nurani ikhlas.
“Sebagai tanggungjawab kita bersama, marilah kita hidupkan dengan menambah keikhlasan (amal kepada Allah) dan dalam masa sama bawa roh ini dalam hidup kita dalam negara kita.
“Kita hendak jadikan Malaysia ini negara madani, maknanya negara yang maju, menyelamatkan rakyatnya dan berpaksi kepada kekuatan, semangat dan jiwa Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Darul Ehsan Berselawat dan Maulid Akhbar, hari ini.
Sebelum ini, beliau menyatakan penguasaan teknologi AI dalam kalangan golongan muda perlu diterapkan dengan nilai keilmuan Islam termasuk dalam pengajian turath atau kitab warisan.
Menurutnya, penerapan itu perlu dilakukan supaya acuan AI dari negara Islam tidak terpisah dari sistem, nilai dan akhlak, ini kerana terlalu mengikut acuan Barat menjadi antara kebimbangan dalam usaha mengembangkan penggunaan teknologi berkenaan.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memantapkan pembangunan kerohanian rakyat Selangor yang tidak tertumpu kepada fizikal dan akal semata-mata.
“Sebagaimana disebut dalam al-Quran, inilah yang akan cuba hidupkan, manusia yang apabila disebutkan nama Allah maka akan bergetar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah serta melihat kebesaran Allah, maka akan bertambah keimanan mereka.
“Bukan hanya manusia yang diisi akalnya dengan fikiran yang logik, matang dan juga membangunkan fizikalnya yang hebat dan bangunan agam. Manusia yang hatinya tulus dan mulus murni.
“Sebab itu pengajian kitab turath yang kita anjurkan tiap-tiap tahun, tujuan dan hasratnya adalah untuk membangunkan manusia yang mempunyai jiwa, makna diri, hati dan nurani serta kemanusiaan dan nilai ihsan atau keinsanan tinggi sebagaimana hasrat dicita-citakan dalam sebuah negara madani,” ujarnya. – UTUSAN










