GEORGE TOWN: Bapa kepada Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak April lalu, berpuas hati dan menerima dengan lapang dada laporan akhir siasatan tragedi itu yang dikeluarkan, Khamis lalu.
Ramli Abd. Hamid, 68, berkata, dia dan ahli keluarga telah dijemput oleh pihak TLDM untuk mendengar sendiri laporan akhir berkenaan.
“Kami sekeluarga reda dan menerima segala ketentuan takdir yang ditetapkan oleh Allah kepada keluarga kami.
“Benda (nahas helikopter) sudah berlaku, kita tidak dapat pertikai pun, Allah takdirkan yang baik untuk kita,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Persiaran Pantai Jerejak, di sini, semalam.
Dalam tragedi 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) serta tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terbabit insiden semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, dan laporan lembaga siasatan insiden itu dikeluarkan Khamis lalu.
Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.
Menurutnya, semalam genap 40 hari anak sulungnya itu meninggal dunia dan dia melaksanakan majlis tahlil di rumah untuk mendoakan kesejahteraan anaknya itu.
“Ramai rakan-rakan anak saya datang, dan sejak daripada hari tragedi ini berlaku, rumah saya tidak putus-putus dikunjungi rakan anak saya.
“Saya amat berterima kasih atas sokongan mereka kepada keluarga kami,” katanya
Tambahnya, paling mengharukan ialah kubur anak sulungnya itu juga sentiasa dikunjungi orang ramai malah bunga-bunga segar sentiasa berada di atas kubur arwah. – UTUSAN










