Tidak jadi pemain bola lagi pun, masih boleh berjaya

Walaupun tidak jadi pemain bola, tetap masih boleh berjaya

MOHAMAD Hisyamudin di hadapan sebuah gerai pisang goreng yang dibekalkan olehnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA selalu didedahkan dengan gaya hidup mewah bintang bola sepak berstatus dunia. Dalam dunia bola sepak terutama di Eropah, bintang ini disadur dengan populariti di luar padang yang sememangnya indah pada pandangan mata ramai.

Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Cerita-cerita pemain bola sepak menjadi tumpuan daripada kerjaya sehinggalah kepada kehidupan peribadi.

Bagaimanapun, cerita tentang kesusahan bekas pemain bola juga bukan sesuatu yang baharu. Banyak kisah bekas pemain bola sepak negara yang perlu bekerja keras selepas meninggalkan kerjaya, diperkatakan sebelum ini antaranya Halim Napi dan bekas pemain negara, Khalid Jamlus.

Di sebalik kisah kesusahan yang dipaparkan, hakikatnya juga ada pemain yang berjaya dalam bidang diceburi mereka selain bola sepak.

Antaranya bekas pemain Harimau Malaya dan Perak, Mohamad Hisyamudin Mohamed Shaari 37, yang menceburi bidang perniagaan pisang.

Menurut anak muda yang berasal dari ibu negara ini, dia nekad beralih bidang selain bola sepak untuk mencari peluang yang lebih baik.

Katanya, segala-galannya bermula selepas pertemuan dengan rakan sejak zaman persekolahan, Malik Bahar pada tahun lalu.

“Dia menceritakan tentang kerjaya ‘baharu’ dalam bidang perniagaan pisang yang akhirnya berjaya mengubah hidupnya.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir tentang perniagaan pisang. Bayangkan, dia yang sebelum ini merupakan bola berjaya dalam perniagaan ini,” katanya.

Selepas mendapat inspirasi dan dibimbing oleh rakannya itu, Mohamad Hisyamudin mengorak langkah pertama dengan memulakan perniagaan pisang.

“Saya jual sikit-sikit sebagai permulaan dan akhirnya perniagaan saya berkembang. Bekalan pisang juga konsisten tanpa ada sebarang masalah.

“Apabila semuanya berjalan lancar, saya akhirnya berjaya membekal pisang termasuk kepada 200 cawangan Goreng Pisang Crispy (GPC) menerusi syarikat saya,” ceritanya.

Tambahnya, permintaan pisang di negara ini agak tinggi sama ada daripada pemborong atau golongan peniaga.

AKSI lincah Mohamad Hisyamudin bersama salah satu pasukan yang diwakilinya satu ketika dahulu.

Malah katanya, potensi juga agak besar dalam perniagaan yang jarang diceburi anak muda disebabkan jarang mendapat pendedahan serta kurangnya pengetahuan.

Menurutnya lagi, anak muda perlu bersikap berani untuk mengambil risiko dan sanggup mempelajari satu-satu bidang secara bersungguh-sungguh.

“Saya mahu anak muda lain tahu dan ada misi serta fokus yang jelas ke mana hala tuju mereka untuk jangka panjang .

“Cuba terokai bidang lain dan tidak terlampau selesa dengan apa yang ada sekarang.Kalau orang lain boleh buat mengapa tidak kita,” jelasnya.

Mohamad Hisyamudin memiliki satu cap bersama Harimau Malaysia yang ketika itu di bawah kendalian jurulatih Datuk K. Rajagopal.

Dia yang mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) adalah rakan seangkatan dengan pemain seperti Safiq Rahim dan pasangan kembar, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Zaquan Adha.

Dalam pada itu, Mohamad Hisyamudin mengakui pendapatan sebagai pemain bola sepak memang lumayan namun jangka hayatnya agak singkat.

“Pemain juga perlu bijak menguruskan kewangan. Saya juga berharap ada bekas pemain yang mahu menerokai bidang perniagaan untuk kelangsungan hidup,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×