Polis rampas dadah RM11.6 juta, berkas 14 ahli sindiket - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah RM11.6 juta, berkas 14 ahli sindiket

KHAW KOK CHIN (tengah) dan M. Kumar menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM11.6 juta yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Kegiatan licik sindiket pengedaran dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan polis negeri ini apabila 14 ahlinya diberkas dalam tujuh serbuan di Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi yang dijalankan serentak bermula pukul 3.40 petang, 29 Mei lalu, kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 52 tahun terdiri daripada dua lelaki tempatan dan masing-masing enam lelaki serta wanita warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Januari lalu.

“Sindiket ini didalangi lelaki warga asing berusia 49 tahun dan kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah iaitu serbuk ekstasi, syabu, ketamin, pil ekstasi, pil eramin 5 serta bahan-bahan kimia memproses dadah.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyewa kondominium mewah dan rumah teres yang ada pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat memproses serta membungkus dadah sebelum diedarkan ke negara jiran.

“Dalam operasi ini juga, polis Johor berjaya membongkar sebuah rumah teres di Bukit Indah dijadikan sebagai makmal mini untuk memproses dan membungkus dadah keseluruhan 198.54 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM11.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar.

Kok Chin berkata, dalam serbuan itu, sebanyak enam kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard, Vellfire dan Lexus turut dirampas.

Selain itu, 11 utas jam tangan mewah pelbagai jenama, termasuk tiga Rolex, 13 barang kemas, wang tunai Ringgit Malaysia dan dolar Singapura (RM283,545) turut dirampas.

Siasatan lanjut mendapati sindiket itu membungkus dadah dalam bungkusan jus minuman serta mencetak dadah seperti ubat-ubatan termasuk ubat tahan sakit bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Saringan urin ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah selain lima warga asing yang ditahan adalah orang dikehendaki di negara mereka dan seorang warga tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×