PETALING JAYA: Polis akan menyiasat motif pembunuhan kanak kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin susulan penahanan ibu bapanya semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, motif pembunuhan juga setakat ini masih dalam siasatan.
“Mereka berdua (ibu bapa) direman seminggu bermula hari ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Penangkapan mereka berpandukan hasil risikan sejak hari kejadian lagi sehingga sekarang,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut belum dapat didedahkan buat masa ini.
“Ibu bapa terbabit ditahan pukul 10.05 pagi semalam oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor,” katanya.
Utusan Malaysia difahamkan, siasatan ke atas ibu bapa kanak-kanak itu dijalankan sejak enam bulan lalu bagi mengumpul bukti pembabitan mereka.
“Selepas risikan dijalankan dan menemukan perkembangan baharu polis menahan ibu bapanya semalam,” katanya. – UTUSAN










