PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima beberapa aduan baharu berhubung isu suami seorang menteri yang dilantik untuk memberi ‘bukti konsep’ sebuah projek pengangkutan oleh Kerajaan Selangor.
Menurut sumber, aduan dan maklumat yang diterima itu memberikan beberapa petunjuk baharu kepada SPRM untuk diteliti.
“Justeru, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk melihat kesahihan maklumat atau petunjuk baharu tersebut.
“Siasatan secara menyeluruh dijalankan termasuk melihat kepada isu salah guna kuasa dan tatakelola dalam pematuhan arahan perbendaharaan melalui proses pelantikan syarikat berkenaan oleh Kerajaan Selangor,” katanya hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan, beberapa aduan dan maklumat diterima berkenaan dengan isu terbabit.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi serta membincangkan isu ini secara terbuka, sebaliknya memberi ruang untuk SPRM melaksanakan siasatan,” tegasnya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan, pihaknya tidak menemui sebarang kesalahan dalam siasatan interim (awal), namun demikian sekiranya adanya petunjuk baharu (new lead), siasatan lanjut boleh dijalankan ke atas isu tersebut. – UTUSAN











