PETALING JAYA: Sebanyak 63 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penulisan kolumnis, Andrew Sia yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem aparteid.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya sudah merakam percakapan 65 individu bagi membantu siasatan.
Katanya, ia membabitkan 63 individu yang membuat laporan polis di seluruh kontinjen di seluruh negara.
“Selain itu, kita merakam percakapan dua individu dari portal berita tempatan.
“Kita masih menunggu untuk mengambil keterangan Andrew yang masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Selasa lalu, polis mengambil keterangan portal berita tempatan pada pukul 10 pagi bagi membantu siasatan.
Pada 24 Mei lalu, polis mengesahkan membuka siasatan terhadap Andrew berkaitan penulisannya dalam sebuah portal mendakwa UiTM mengamalkan sistem aparteid.
Ia susulan laporan pertama dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung penyiaran artikel bertajuk Our Apartheid Academy, UiTM yang dimuat naik di sebuah portal.
Andrew memberi komen mengenai protes oleh pelajar bumiputera ke atas beberapa pelajar bukan bumiputera yang diterima masuk bagi jurusan pembedahan kardiotoraks di UiTM. – UTUSAN










