PETALING JAYA: Penjimatan dari pelaksanaan pengapungan harga diesel dijangka dapat mengurangkan hutang dan defisit belanjawan negara yang terus meningkat, kata penganalisis.
Ini disebabkan oleh jumlah subsidi yang semakin bertambah setiap tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, subsidi pernah mencapai RM51 bilion tetapi perbelanjaan sebenar mencapai RM80 bilion pada 2022, malah melebihi belanjawan pembangunan waktu itu adalah RM75 bilion.
“Penstrukturan semula subsidi pukal Malaysia bermula dengan pengapungan harga ayam dan telur tahun lepas.
“Kini, langkah pengurangan subsidi bahan api bermula dengan diesel susulan, banyak penyalahgunaan dan penyeludupan yang merugikan kutipan cukai dari rakyat,” katanya.
Menurut Aimi Zulhazmi, pelaksanaan subsidi ini dalam jangka masa pendek akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat walaupun subsidi diberikan kepada jenis pengangkutan seperti petani, peladang dan nelayan yang merupakan pengguna diesel dalam operasi ekonomi Malaysia.
“Namun, harga barang pengguna akan naik kerana penjual akan mengubah kenaikan kos pengangkutan kepada pengguna.
“Ada juga yang menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga bagi keuntungan lebih, walaupun hakikatnya hanya sedikit sahaja terkesan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berpendapat, pengasingan harga minyak diesel bagi tujuan menangani isu ketirisan adalah satu langkah yang bijak dan baik.
“Ini supaya peruntukan subsidi minyak dapat digunakan secara maksimum bagi mereka yang layak sahaja, manakala pihak yg tidak layak dapat dikenal pasti.
“Secara langsung pengapungan mampu mengelak berlaku pembaziran yang tidak menyumbang kepada limpahan ekonomi negara,” katanya.
Jelasnya, langkah ini amat sesuai sebab kelewatan melaksanakan pengasingan diesel ini akan merugikan negara kerana ia melibatkan perbelanjaan dan kos yang agak besar.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan melaksanakan pengapungan harga minyak diesel susulan penyasaran subsidi diesel sebagai salah satu mekanisme untuk membasmi aktiviti ketirisan melibatkan subsidi bahan api berkenaan yang disifatkan semakin berleluasa kebelakangan ini.
Beliau berkata, subsidi diesel sebanyak RM1.4 billion yang direkodkan pada 2019, meningkat sepuluh kali ganda kepada RM 14.3 billion pada tahun lepas, disumbang oleh beberapa faktor.
Amir Hamzah berkata, antara faktor adalah peningkatan jumlah diesel bersubsidi yang digunakan daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 billion liter tahun lepas, iaitu kenaikan lebih kurang 70 peratus.-UTUSAN










