PETALING JAYA: Malaysia akan mengalami kekurangan tenaga mahir tempatan disebabkan kurang minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.
Peratusan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan pelajar mengambil mata pelajaran elektif Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dalam tempoh tiga tahun ini pada kadar rendah di bawah 30 peratus.
Malah, trend pelajar mengambil empat mata pelajaran sains iaitu Kimia, Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan secara keseluruhan merekodkan penurunan.
Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2021 hingga 2023 menyaksikan, hanya 30 peratus daripada keseluruhan 382,156 calon menduduki mata pelajaran Matematik Tambahan pada 2021; 18.66 peratus (Biologi); 23.7 peratus (Fizik) dan 24 peratus Kimia.
Daripada keseluruhan 373,974 calon pada 2022 pula, 30.4 peratus mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan; 19.6 peratus (Biologi); 24.62 peratus (Fizik) dan 24.86 peratus (Kimia).
Analisis pada 2023 pula menyaksikan 29.42 peratus daripada 373,525 calon menduduki mata pelajaran Matematik Tambahan; 19.16 peratus (Biologi); 24.3 peratus (Fizik); dan 24.54 peratus (Kimia).
Justeru, Pengerusi dan Pengasas Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris berkata, kadar tersebut sangat membimbangkan dan tindakan segera perlu dilakukan kerana polisi sains negara menyasarkan 60 peratus pelajar memilih aliran sains dan teknikal.
Katanya, peratusan calon SPM menduduki empat subjek berkenaan menunjukkan Malaysia jauh tersasar bagi menjayakan dasar itu.
“Perlu tindakan segera, jika tiada hajat untuk menjadi negara maju memang jauh tersasar dan karier-karier berkaitan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) tidak akan tercapai.
“Jika mahu ke arah itu, kena ramai anak-anak kita menguasai konsep sains dan matematik, tetapi bagaimana mahu capai jika ramai tidak ambil (mata pelajaran elektif STEM)?” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Noraini yang juga Penasihat dan Profesor Kehormat Pusat STEM Universiti Malaya (UM) berkata, semua kementerian yang bertanggungjawab perlu memberi perhatian bagi meningkatkan peratusan pelajar dalam aliran sains.
Katanya, kementerian terlibat juga perlu bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan, turun padang memantau isu terbabit di peringkat sekolah.
“Pertamanya, kena melihat semula teknik pengajaran guru dan kena memperbanyakkan latihan amali atau jika tiada (latihan amali), maka perlu diadakan.
“Selain itu, mana-mana individu yang menerajui sekolah juga perlu didedahkan dengan kepimpinan dalam STEM supaya dapat memupuk minat pelajar ke arah STEM,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Aisyah, 35, berkata, dia tidak cenderung membenarkan anaknya memilih aliran sains tulen selepas mengambil kira situasi kerja lepasan bidang itu ketika ini.
“Sekarang bidang sains pun tidak menjanjikan gaji premium dan tempat di pasaran untuk mereka.
“Keadaan hari ini menyaksikan jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjanjikan gaji lebih premium berbanding pekerja profesional sebab peluang pekerjaan lebih meluas kepada mereka banyak kemahiran,” katanya. – UTUSAN










