Kraf tangan anyaman daun sal kini semakin pupus

Hampir 100 tahun jadi sumber pendapatan, kraf tangan anyaman daun sal semakin pupus

ZALIHA Hussin (kanan) dan Habsah Che Wan Embong menunjukkan tudung saji yang dihasilkan menggunakan daun sal di Balai Raya Kampung Gong Gemia, Paka, Dungun, Terengganu, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kraftangan anyaman daun sal yang menjadi sumber pendapatan penduduk di beberapa buah kampung di Paka dekat sini, sejak hampir 100 tahun lalu kini semakin pupus berikutan ketiadaan pelapis dalam kalangan generasi muda, selain kesukaran mendapat bahan.

Seorang pengusaha anyaman daun sal, Zalila Hussin, 64, berkata, ketika ini, hanya terdapat tiga individu di Paka yang masih meneruskan kraftangan anyaman daun sal.

“Sebelum ini, anyaman daun sal menjadi sumber pendapatan penduduk terutama suri rumah, namun kebanyakan generasi lama telah meninggal dunia dan tiada ahli keluarga mewarisi kraftangan tersebut.

“Generasi muda sekarang kurang minat nak buat anyaman sebab ia memerlukan teknik tertentu dan prosesnya agak rumit serta memakan masa lama,” katanya ketika ditemui pada program Media Turun Padang meninjau perkembangan industri kraf di Paka, semalam.

Zalila yang mahir membuat anyaman daun sal sejak berusia 16 tahun berkata, antara produk anyaman yang dihasilkan menggunakan daun itu ialah tudung saji, alas pinggan, bekas telur dan kotak hadiah.

Menurutnya, permintaan terhadap produk anyaman daun sal terutama tudung saji masih tinggi sehingga tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Bagaimanapun, pengusaha kraf tangan ini juga menghadapi kesukaran mendapatkan daun sal kerana tiada yang berminat mencari daun tersebut di dalam hutan,” ujarnya.

Seorang lagi pengusaha anyaman daun sal, Habsah Che Wan Embong, 61, berkata, dia mewarisi kemahiran anyaman itu daripada ibu dan arwah bapanya, Aminah Isa, 78, dan Che Embong Che Wan Mat.

Warga emas itu yang mahir membuat daun sal sejak berusia 12 tahun berkata, proses menghasilkan sesuatu produk memakan masa hampir tiga minggu.

“Daun sal yang diambil dari hutan akan dijemur terlebih dahulu, kemudian direbus dan dicelup pewarna sebelum proses anyaman dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×