FKU 2023 sasar nilai jualan RM400,000

FKU 2023 sasar nilai jualan RM400,000

ROSLAN Abdul Rahman diiringi 'Ainu Sham Ramli (kiri) melawat reruai pameran kraf selepas Majlis Perasmian Festival Kraf Utara 2023 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Sabtu lalu. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penganjuran Festival Kraf Utara (FKU) 2023 yang berlangsung selama 10 hari bermula Jumaat lalu menyasarkan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM400,000 melalui penyertaan seramai 60 usahawan kraf.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman, festival julung kali diadakan di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di sini itu juga bakal dihadiri lebih 15,000 pengunjung.

“Saya yakin sasaran nilai jualan keseluruhan ini dapat dicapai dengan adanya penawaran pelbagai produk kraf Malaysia yang baharu, menarik dan berkualiti seperti produk segmen pakaian dan aksesori, hiasan dalaman serta hadiah dan cenderamata kepada para pengunjung.

“Selain itu, selaras pengumuman surat edaran JPA pada 21 Ogos lepas iaitu Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, orang ramai khususnya penjawat awam yang ingin mendapatkan batik buatan Malaysia, boleh mengunjungi FKU 2023 ini,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kraf Utara (FKU) 2023 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di sini, kelmarin.

Sebanyak 60 usahawan kraftangan dari Perlis, Kedah, Langkawi, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah menyertai festival bermula 22 September itu.

Aktiviti menganyam turut diadakan sempena Perasmian Festival Kraf Utara 2023 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis yang sedang berlangsung ketika ini.

Roslan menambah, terdapat pelbagai jenis batik dipromosikan oleh 30 usahawan termasuk batik canting, batik blok, batik skrin mahupun batik alternatif yang menggunakan bahan tanah liat.

Beliau berkata, FKU 2023 amat bermakna kerana ia merupakan satu platform simulasi urus niaga yang berkesan untuk komuniti menimba pengalaman dalam dunia perniagaan sebenar.

“Komuniti yang dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) ini telah melibatkan sebanyak 35 projek dari Perlis, Kedah, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak dengan penyertaan seramai 492 orang merangkumi bidang tekstil, hasil rimba, seramik, hasil logam dan aneka kraf,” jelasnya.

Tambah beliau, industri kraf juga terus menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh setahun ini dengan pencapaian nilai jualan kraf meningkat sebanyak 20 peratus iaitu RM223.6 juta berbanding RM186.4 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Pencapaian bilangan usahawan kraf pula bagi tempoh yang sama meningkat iaitu seramai 6,679 berbanding 2022 seramai 6,484 orang,” ujar beliau.

Tambah beliau, penganjuran FKU 2023 juga diharapkan dapat menyumbang kepada kedatangan pengunjung ke Perlis sekali gus memberi limpahan manfaat secara langsung kepada rantaian nilai sektor pelancongan tempatan seperti perkhidmatan hotel, inap desa, makanan dan minuman, agensi pelancongan serta pengangkutan.

“Di Perlis terdapat seramai 77 usahawan mengusahakan produk kraf dari bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf dengan nilai jualan dijana sebanyak RM1.67 juta sehingga 31 Ogos lepas,” katanya.

Dalam pada itu menurut Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli, FKU 2023 merupakan program yang julung kali diadakan di Perlis yang melibatkan kerjasama Kraftangan Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Kedah, Langkawi dan Perak.

“Penganjuran FKU 2023 adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada seramai 60 usahawan kraf dari Perlis dan seluruh Malaysia untuk memasarkan produk kraf tempatan terus kepada pembeli.

“FKU ini juga merupakan medium pertemuan di antara peniaga, pengusaha serta pemborong kraf seluruh Malaysia khususnya di Perlis untuk menjalankan urusan secara berterusan,” katanya.

Demonstrasi membuat tembikar juga dilakukan sempena Perasmian Festival Kraf Utara 2023 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis yang sedang berlangsung sekarang.

Katanya, FKU 2023 yang bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’ merupakan platform untuk menyuntik pengetahuan, kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap produk kraf Malaysia.

“Reka bentuk produk kraf yang ditawarkan lebih inovasi dan dinamik dengan sentuhan elemen kontemporari dan tradisional yang sesuai diguna pakai sebagai gaya hidup serta membudayakan seni kraf dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Katanya, penganjuran FKU 2023 itu dimeriahkan dengan aktiviti Jualan Kraf, Demonstrasi Kraf, Interaktif Kraf, Pameran Produk Kraf Baharu, Pameran Jom Masuk IKN, Persembahan Kebudayaan dan aktiviti Galakan Pengunjung.

“Pada majlis ini juga, turut disampaikan Sijil Penyertaan Peserta Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Tanah Liat kepada 11 peserta yang diadakan pada 18 hingga 20 September lepas.

“Makmal ini merupakan sebahagian aktiviti di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang bertujuan untuk membuka peluang kepada komuniti mempelajari dan meningkatkan kemahiran dalam penghasilan produk kraf seterusnya memasarkannya bagi menjana pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya