Tukang masak medan selera didakwa amang seksual fizikal kanak-kanak 2 tahun

Tukang masak medan selera didakwa amang seksual fizikal kanak-kanak 2 tahun

K. SENTHILNATHAN dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang bagi menghadapi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia dua tahun. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal dengan menggesel kemaluan pada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, minggu lalu. 

Tertuduh, K. Senthilnathan, 34, yang juga tukang masak di medan selera meminta dibicarakan sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak peniaga di medan selera itu di Pandan Indah di sini, pukul 5 petang pada 20 Mei lalu. 

Pendakwaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh, selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis, tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan penyerahan pasport. 

“Ibu mangsa adalah peniaga berdekatan dengan gerai tempat tertuduh bekerja. Jadi mereka mengenali antara satu sama lain,” katanya. 

Bagaimanapun, peguam bela Senthilnathan, S Selvaakumaran, memohon jaminan antara RM2,500 hingga RM5,000. 

“Tertuduh adalah penanggung kepada ibu bapa yang sudah uzur dan menetap di India, selain ada anak berusia dua tahun yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin, selain syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.  Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 September ini.

Sebelum ini media melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disyaki dicabul seorang lelaki warga asing ketika bermain sekitar medan selera di Pandan Indah pada 20 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, laporan berhubung kejadian dibuat ibu kanak-kanak terlibat sejurus anaknya mengadu kesakitan selepas insiden itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×