Sejuta fleet card tersedia untuk SKDS 2.0

Sejuta fleet card tersedia untuk SKDS 2.0

ARMIZAN Mohd Ali melihat wakil syarikat yang mendaftar untuk proses pendaftaran MySubsidi Diesel pada Hari Terbuka SKDS 2.0 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak sejuta ‘fleet card’ tersedia bagi memenuhi keperluan bagi pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) jika sistem itu dilaksanakan kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketersediaan itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan dalam perancangan agenda penyasaran semula subsidi diesel.

Beliau berkata, pihaknya menggerakkan kerjasama dengan lima syarikat minyak termasuk Petronas, Shell, Petron, BHP dan Caltex bagi melancarkan program berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah satu juta fleet card itu disasarkan bagi memenuhi permintaan 23 jenis kenderaan yang layak melalui SKDS 2.0 yang dianggarkan berjumlah 410,000 buah kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Hari Terbuka SKDS 2.0 di sini, hari ini.

Katanya, permohonan bagi mendapatkan surat kelulusan SKDS 2.0 secara atas talian boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

Armizan berkata, beliau menyeru syarikat-syarikat yang layak memohon di bawah SKDS 2.0 untuk tidak bertangguh dan memohon bagi mendapatkan surat kelulusan sekali gus memohon fleet card daripada syarikat minyak.

Katanya, setiap syarikat boleh memilih tiga fleet card daripada lima syarikat minyak berkenaan.

Jelasnya lagi, beliau difahamkan proses mengeluarkan fleet card adalah dalam tempoh empat hingga enam minggu namun, ada juga syarikat minyak yang mampu menyediakan kad itu kurang tujuh hari.

Ditanya kenapa tidak digabungkan tiga fleet card menjadi satu, Armizan berkata, pihaknya tidak mahu berbelanja untuk sistem baharu sebaliknya mengguna pakai sistem sedia ada yang disediakan syarikat minyak berkenaan.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya juga menggerakkan kerjasama dengan sistem MySikap dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melancarkan permohonan SKDS itu.

Menurutnya, menerusi pengintegrasian sistem ini, maka permohon tidak lagi perlu memuat naik setiap dokumen sebaliknya hanya perlu masukkan nombor pendaftaran syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini