PETALING JAYA: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bergelut sebelum mengatasi pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei untuk mara ke 16 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Singapura.
Gandingan No. 4 dunia itu melakar kemenangan 22-20, 21-17 ke atas beregu ke-42 dunia tersebut dalam masa 41 minit.
Turut mara pasangan No. 20 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mengetepikan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-12, 21-11 dan kejayaan mereka turut disertai dua pasangan beregu campuran negara.
Juara Malaysia Masters, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengetepikan wakil India, Sumeeth Reddy B-Sikki Reddy 21-18, 21-19 manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan Jan Colin Voelker-Isabel Lohau dari Jerman 21-14, 21-11.
Nasib berbeza menimpa perseorangan wanita Malaysia, Goh Jin Wei yang terkandas di pusingan awal selepas tumpas di tangan pilihan ketiga, Carolina Marin dari Sepanyol 20-22, 18-21.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki utama Malaysia, Lee Zii Jia yang kini melonjak ke ranking No. 9 dunia terpaksa menarik diri daripada kejohanan berstatus Super 750 itu selepas mengalami kecederaan hamstring.- UTUSAN










