KOTA BHARU: Kanak-kanak di negeri bersempadan Thailand seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak merupakan antara golongan paling ramai yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri selepas mereka dilahirkan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata, perkara tersebut terjadi berikutan perkahwinan ibu bapa mereka di Thailand tidak teratur dan tidak didaftarkan di negara ini.
Menurutnya, perkahwinan tidak teratur melibatkan perkahwinan di luar negara dan tidak didaftarkan semula di dalam negara disebabkan perkahwinan tersebut dilangsungkan tanpa kebenaran.
“Perkara itu menjadi isu utama yang berlaku di negeri-negeri bersempadan seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak.
“Komitmen JPN adalah untuk membantu segala urusan pendaftaran, namun hak untuk mendaftar perkahwinan adalah bergantung kepada individu masing-masing.
“Justeru, semua golongan masyarakat diseru untuk mendaftarkan perkahwinan kerana ia boleh memberi kesan kepada taraf kewarganegaraan anak-anak,” katanya ketika ditemui pemberita pada
Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Chenok di sini semalam.
Dalam pada itu, Badrul Hisham memberitahu, pihaknya sudah menerima lebih 22,000 permohonan dokumen pengenalan diri melalui program Mekar di seluruh negara setakat Mei tahun ini.
Katanya, permohonan yang diterima itu melibatkan pelbagai kes yang dilaporkan dan sebahagian besarnya menerusi Program Mekar Ihsan, Mekar Komuniti dan Mekar Satria.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan sebanyak 27,830 kes lewat mendaftar kelahiran bayi direkodkan di seluruh negara sejak Januari 2022 hingga kini.
Katanya, antara faktor menyebabkan kelewatan itu termasuk masalah kewangan yang dihadapi ibu bapa atau keluarga.











