Mangsa penipuan gesa SC senarai hitam syarikat tawar pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Mangsa penipuan gesa SC senarai hitam syarikat tawar pelaburan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) hari ini membawa kira-kira 26 aduan mangsa penipuan skim pelaburan dengan nilai kerugian RM 550,000 kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa-mangsa telah pun tampil membuat aduan dengan pihaknya sebelum laporan polis.

“Namun begitu, para pengadu masih melihat dan mendapat maklumat dari individu lain yang menyatakan bahawa syarikat tersebut pada ketika ini masih aktif melakukan aktiviti pemasaran dan masih lagi aktif mencari orang awam yang ingin menyertai skim pelaburan saham yang ditawarkan oleh syarikat tersebut.

“Sedangkan penawaran skim pelaburan saham yang ditawarkan, dipasarkan dan juga dianjurkan oleh syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang kelulusan yang sah dari segi perundangan Malaysia dan ianya adalah merupakan aktiviti penawaran saham kepada orang awam yang tidak sah,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, serahan aduan kepada pihak SC supaya satu tindakan perundangan dapat diambil ke atas syarikat tersebut supaya syarikat ini tidak lagi memasarkan dan menawarkan skim pelaburan saham yang diterbitkan oleh sebuah syarikat dari Amerika Syarikat (AS) yang tidak sah kepada orang awam yang lain.

“Sedia maklum bahawa rakyat awam pada ketika ini mudah tertarik dengan tawaran-tawaran pulangan dividen yang tinggi dari syarikat-syarikat yang menawarkan skim pelaburan yang tidak diketahui keesahan di sebalik tawaran pelaburan yang mereka pasarkan dan anjurkan tersebut.

“Disamping juga adalah untuk membendung supaya orang awam yang lain tidak terjerat dan terperangkap di dalam skim pelaburan saham yang ditawarkan oleh syarikat tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, mangsa juga berharap syarikat yang berkaitan ini dapat ditutup dan disenarai hitamkan di laman sesawang rasmi SC.

“Ini kerana, sepertimana yang dimaklumkan syarikat ini masih lagi bergiat aktif menawarkan dan memasarkan skim pelaburan saham tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×