PETALING JAYA: FGV Holdings Bhd (FGV) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM13.49 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, berbanding untung bersih RM12.09 juta pada suku sama tahun sebelumnya, disebabkan pengurangan keuntungan daripada hampir semua bahagian.
Dalam pemfailan Bursa Malaysia semalam, FGV melaporkan penyusutan pendapatan sebanyak RM4.54 bilion bagi suku tinjauan daripada RM4.59 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan perladangan merekodkan kerugian sesaham pada 0.37 sen berbanding pendapatan sesaham 0.33 sen sebelumnya dan tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku yang dikaji.
Mengulas mengenai prestasi tersebut, FGV berkata, penurunan dalam keuntungan sebahagiannya dikurangkan oleh peningkatan prestasi dalam bahagian gula serta minyak dan lemak pada suku semasa.
Jelasnya, bahagian perladangan mencatatkan kerugian RM62.14 juta berbanding keuntungan RM58.32 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Tambahnya, kerugian itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan ketara dalam caj nilai saksama ke atas perjanjian pajakan tanah, meningkat kepada RM86.04 juta berbanding RM32.16 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
FGV berkata, bahagian minyak dan lemak mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak RM26.65 juta, mengatasi keuntungan RM5.20 juta daripada suku yang sama tahun sebelumnya.
Syarikat memberitahu, peningkatan dalam keuntungan itu disebabkan oleh peningkatan sumbangan daripada komoditi pukal berikutan margin yang lebih tinggi yang dilaporkan pada suku semasa.-UTUSAN










