DIANGGARKAN 50 peratus penghidap tiroid tidak didiagnosis dan dirawat berikutan gejalanya yang sukar dibezakan, malah ada yang menyerupai masalah kesihatan biasa atau ketidakseimbangan hormon.
Tiroid terbahagi kepada tiga, hipertiroidisme, hipotiroidisme dan kes-kes lain iaitu kelenjar tiroid berfungsi secara normal tetapi mempunyai benjolan atau nodul.

Perunding Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Wong Mei Wan berkata, terdapat pelbagai punca menyebabkan hipertiroidisme termasuk penyakit autoimun seperti graves dan tiroiditis.
Ujarnya, situasi berkenaan berlaku apabila hormon tiroid dikeluarkan secara berlebihan hingga pesakit mengalami kegelisahan, penurunan berat badan, tidak tahan panas dan berpeluh secara berlebihan.
Manakala, hipotiroidisme (kurang pengeluaran hormon) pula boleh berlaku akibat pembedahan mengeluarkan kelenjar tiroid dan faktor genetik
“Individu yang berdepan penyakit ini sering kali keletihan dan lesu di samping bertambah berat badan,” katanya baru-baru ini.
Terletak di bahagian leher dan berbentuk seolah-olah sayap rama-rama, kelenjar tiroid memainkan peranan penting dalam mengawal metabolisme badan.
Dalam pada itu, Dr. Mei Wan menasihatkan pesakit agar segera mendapatkan bantuan jika mengalami gejala-gejala tersebut.
“Lebih-lebih lagi untuk hipertiroidisme kerana ia boleh menjurus kepada masalah kesihatan yang serius, malah boleh mengundang maut,” jelasnya.
Hipertiroidisme adalah penyakit endokrin kedua yang paling banyak didiagnosis selepas diabetes di Malaysia.
Mitos
Individu yang mempunyai gejala berterusan selama lebih sebulan atau terdapat nodul dan kejanggalan pada fungsi tiroid, disarankan untuk berjumpa dengan pakar penjagaan kesihatan.
Proses mendiagnosis penyakit itu dilakukan menerusi ujian darah dan imbasan ultrabunyi.
Jelas Dr. Mei Wan, tidak semua nodul memerlukan rawatan ubat atau adalah kanser.
Katanya, selagi tahap tiroid pesakit masih normal, mereka tidak perlu mengambil ubat walaupun mempunyai nodul.
Rawatan
Rawatan untuk penyakit tiroid adalah berbeza bergantung kepada jenis dan tahap keparahan gangguan hormon.
Kebiasaannya, ubat-ubatan diberikan untuk mengawal paras hormon.
Sehubungan itu, Dr. Mei Wan menekankan kepentingan melakukan ujian darah secara berkala, terutama bagi mereka yang sedang menjalani rawatan bagi memastikan kestabilan fungsi tiroid.
“Kesedaran mengenai kesihatan tiroid adalah komponen penting untuk mengekalkan kesejahteraan kesihatan secara menyeluruh.
“Intervensi awal dapat memberikan perubahan signifikan terhadap kesihatan tiroid yang optimum sekali gus memastikan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.










