Regu kedua, ketiga gagal beri saingan

Regu kedua, ketiga gagal beri saingan

BEREGU kedua dan ketiga negara perlu lebih bersungguh-sungguh menguasai kemahiran bermain sekiranya mahu menandingi kehebatan Thailand dalam acara berpasukan yang menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk menamatkan kemarau juara pada Kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw 2024 di Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui prestasi kurang baik regu kedua dan ketiga menyebabkan Malaysia tumpas kepada Thailand dalam final acara berpasukan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, para pemain sudah memberikan segalanya di atas padang dan menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan pemain bangkit dan memperkemaskan rentak permainan untuk kejohanan akan datang.

“Secara peribadi kita lihat beberapa elemen dalam permainan khususnya bagi regu kedua dan ketiga itu antara yang menyebabkan kita gagal untuk memberi saingan kepada pasukan Thailand. Kita kena, tiada jalan mudah untuk pemain kita capai prestasi terbaik.

“Selepas ini, kita akan menggandakan lagi usaha untuk memperbaiki prestasi dalam mempersiapkan pasukan bagi kejohanan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas aksi final di Stadium Titiwangsa, kelmarin.

Biarpun gagal menamatkan kemarau untuk memenangi gelaran berpasukan Piala Dunia, selain 33 tahun tidak pernah mengalahkan Thailand dalam mana-mana acara berpasukan,Ahmad Jais percaya terdapat peningkatan yang ditunjukkan anak-anak buahnya.

“Saya mahukan setiap pemain menggandakan lagi usaha untuk memperkemaskan lagi prestasi masing-masing. Ini kerana kita tengok dari segi secara keseluruhannya ada peningkatan, tapi ada elemen yang perlu dikemaskinikan lagi,” katanya.

Selepas kejohanan ini, skuad negara akan membuat persiapan untuk aksi Piala Raja Thailand yang dijadual pada 1 hingga 8 September ini dan Ahmad Jais akan menilai secara keseluruhan pemain yang akan mewakili negara.

Katanya, beliau akan duduk berbincang dengan pihak Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terlebih dahulu untuk melihat sejauh mana sasaran dalam kejohanan itu.

“Dari situ, keputusan sama ada kita menghantar pasukan utama atau memberi pendedahan kepada pemain muda akan dibuat. Cabaran untuk menentang pasukan Thailand memang besar, namun tiada perkara yang mustahil untuk kita lakukan,” katanya.

Ujarnya lagi, selagi ada kesungguhan dan usaha keras setiap pemain, tiada perkara yang mustahil boleh berlaku sama seperti dalam acara beregu dan regu di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang mana menjadi milik Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×