RM552j milik warga emas lesap ditipu scammer

RM552j milik warga emas lesap ditipu scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sebanyak RM552 juta kerugian direkodkan melibatkan warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian antara tempoh 2021 hingga 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu membabitkan 5,533 mangsa (6.4 peratus) daripada keseluruhan 86,266 individu yang direkod menjadi mangsa penipuan dalam talian dalam tempoh tiga tahun itu membabitkan jumlah kerugian RM2.76 billion.

Katanya, meskipun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas berusia 61 tahun ke atas adalah rendah berbanding kelompok yang lain, namun nilai kerugian dialami mereka amat tinggi.

“Trend yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 19 Mei lalu, seramai 990 mangsa (8.3 peratus) adalah warga emas.

“Daripada tempoh 2021 hingga 2023, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan bagi kes penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2.76 bilion dan daripada jumlah ini, kerugian yang dicatatkan membabitkan mangsa warga emas adalah RM552.51 juta (20 peratus).

“Begitu juga bagi tahun ini, sehingga 19 Mei lalu, kerugian dicatatkan melibatkann mangsa warga emas sudah mencecah RM130.49 juta (27.7 peratus) daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM471.5 juta,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak semalam.

Tambah Ramli, daripada 5,533 mangsa warga emas yang direkodkan sepanjang tempoh tiga tahun lalu, 2,631 individu (47.6 peratus) adalah mangsa kepada penipuan jenayah telekomunikasi seperti ‘phone scam’, penyamaran dalam talian, penipuan SMS dan tawaran hadiah secara dalam talian.

“Trend yang sama dicatatkan bagi tahun ini sehingga 19 Mei, yang mana daripada 990 mangsa warga emas yang direkodkan, 39.4 peratus atau 390 daripadanya adalah membabitkan jenayah telekomunikasi.

Jelasnya, rekod PDRM dalam tempoh tiga tahun itu menunjukkan jumlah kerugian membabitkan jenayah telekomunikasi dialami mangsa warga emas sebanyak RM253.93 juta daripada jumlah keseluruhan RM873.84 juta.

Bagi tempoh tahun ini sehingga 19 Mei lalu pula, beliau berkata, jumlah kerugian oleh mangsa warga emas akibat taktik penipuan sama, mencecah RM36.18 juta daripada jumlah keseluruhan RM146.11 juta.

“Berbanding kesemua kategori jenayah dalam talian, jenayah telekomunikasi boleh berlaku terhadap mangsa yang tidak mempunyai pengetahuan berkaitan internet. Cukup hanya menggunakan telefon, sindiket penipuan boleh menghubungi dan menipu mangsa.

“Disebabkan itulah ramai warga emas menjadi mangsa kepada jenayah telekomunikasi berbanding jenayah dalam talian yang lain,” katanya.

Tambah beliau, jenayah telekomunikasi adalah kategori jenayah boleh dicegah seandainya mangsa mempunyai pengetahuan dan berwaspada.

Dalam pada itu, PDRM membidas Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) terhadap satu laporan polis berkenaan jual beli dan pindah milik saham syarikat melibatkan kerugian RM3.5 juta.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, siasatan kes tersebut diklasifikasikan NFA (No Further Action) sedangkan terdapat bukti berlakunya penipuan dalam kes itu.

Menurut Ramli, kes berkenaan sudah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur pada 30 Januari lalu yang seterusnya bersetuju kes ini adalah kesalahan sivil maka, kes kekal diklasifikasikan sebagai NFA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×