Cacat penglihatan tidak halang Rosli bertani di tengah kota

Cacat penglihatan tidak halang Rosli bertani di tengah kota

ROSLI (kanan) turut mengusahakan penternakan madu kelulut yang dipasarkan sekitar lembah Klang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN dianggap sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) disebabkan buta di sebelah mata kanan, ia tidak menjadi tembok penghalang untuk Rosli Rashid menjadi petani di tengah bandar raya Shah Alam.

Rosli,56, yang tinggal di Pangsapuri Nilam Sari Seksyen 7 dekat sini menegaskan, menjadi OKU bukanlah lesen untuk dirinya bersikap meminta-minta dan mengeluh tentang kekurangan fizikal yang ada.

Sejak tamat sekolah selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau tetap tabah berusaha walaupun dengan penglihatan yang
terhad dengan memegang prinsip hidup, alah bisa tegal biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang kekurangan diri menyebabkan ramai yang mengata macam-macam, namun saya bersabar kerana saya masih mempunyai tulang empat kerat dan sehingga kini saya telah bekerja dalam pelbagai sektor sejak 30 tahun lalu.

“Semasa sekolah rendah dan menengah lagi saya sudah bekerja menjadi penjaga bangunan, menoreh dan membina rumah. Hidup dalam keluarga yang diuji dengan perpisahan orang tua mematangkan saya pada usia muda,” katanya ketika ditemui di Lie Lenggong Nursery Kebun Komuniti dalam sesi lawatan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Shahrin Ahmad baru-baru ini.

Minat menceburi bidang pertanian tercetus selepas beliau berhenti kerja di sebuah kilang lima tahun lalu di bandar raya ini.

Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 beliau mulai aktif membantu mana-mana pihak perseorangan yang ingin membersihkan kebun dan menjual hasil tani mereka.

Lelaki asal Lenggong Perak itu memberitahu, penglibatan aktifnya dalam bidang yang akrab dengan tanah tersebut semakin bercambah.

Kekurangan diri dijadikan sumber motivasi untuk mula mengusahakan tanah berhampiran kawasan perindustrian Seksyen 7, Shah Alam.

Rosli berkata, pada mulanya tanah kosong tersebut ditanam pucuk paku sebelum beliau menanam sayur keladi, nanas,pisang,pokok herba dan terbaharu tebu.

“Kemudian saya menternak ikan keli dan ikan sepat setelah mendapat bantuan Jabatan Perikanan.

“Hasil usaha tersebut, saya berjaya menghasilkan ratusan keli untuk pasaran sekitar bandar raya ini.

“Menternak ikan keli nampak mudah,namun memerlukan penjagaan rapi air dan makanan yang perlu diberi mengikut waktu tertentu,”katanya yangdibantu isteri Jamaah Abdul Manan,57.

Rosli yang pernah menunaikan umrah beberapa tahun lalu bersama keluargaberkata, usaha taninya semakin berkembang dengan penternakan madu kelulut yang dibotolkan dan dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Jelasnya lagi, buat masa ini dia mempunyai 10 lot lebah madu kelulut dan sedang mencari modal untuk menambah lot lebah madu kelulut tersebut.

“Segala usaha menternak lebah madu kelulut, menternak ikan dan membina prasarana di sini turut dibantu Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memberi permit untuk kebun komuniti wujud di kawasan ini,”ujarnya yang turut melahirkan rasa syukur lantaran sering dijemput JKM untuk mengikuti kursus kemahiran dan pertanian sehingga mampu berdikari sebagai usahawan tani.

Petani bandar ini mampu menjana pendapatan sehingga RM2000 hingga RM3000 sebulan.

Bapa empat anak berusia antara 20 hingga 27 tahun itu berkata, walaupun menerima elaun JKM RM450 sebulan sebagai OKU hasil daripada
kebunnya dapat menampung perbelanjaan harian keluarga.

Orang ramai yang berhasrat untuk membeli ikan keli, madu kelulut dan sayursayuran boleh datang ke Lie Lenggong Nursery yang terletak di Jalan Lengkuk Keluli 1, Taman Perindustrian Bukit Raja Selatan, Shah Alam setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga pukul 6 petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini