GEORGE TOWN : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang hari ini menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.
Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pulau Pinang, Dr. Siti Nazariah Abdul Zalim kira-kira pukul 2 petang, di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Susulan penyerahan notis berkenaan, SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kerusi itu.
Choo Kiang berkata, notis kekosongan DUN Sungai Bakap itu dimaklumkan kepada SPR selaras dengan Fasal Lima Perkara 19, Perlembangaan Pulau Pinang.
“Suka atau tidak kita perlu maklumkan kepada SPR bahawa ada kekosongan di DUN (Sungai Bakap).
“Hari ini, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap kepada SPR, semuanya selaras dengan Fasal Lima Perkara 19 Perlembangaan Pulau Pinang,” katanya di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Nor Zamri, 56, meninggal dunia kira-kira 1.38 tengah hari Jumaat lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Menurut Choo Kiang, notis kekosongan DUN Sungai Bakap itu perlu diumumkan kepada SPR agar agensi berkenaan dapat menjalankan tugas mereka.
Dalam pada itu, Choo Kiang berkata, warga DUN Pulau Pinang amat bersedih dengan pemergian Nor Zamri dan ia adalah satu kerugian besar kepada negeri ini.
“Allahyarham ADUN Sungai Bakap adalah wakil rakyat yang dihormati dan disayangi oleh semua pihak sama ada di peringkat kawasan dan di negeri,” katanya.-UTUSAN










