MELAKA: Jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di negeri ini yang mendapat A bagi semua mata pelajaran meningkat kepada 336 orang berbanding 243 orang tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, seramai 10,458 atau 95.53 peratus calon sekolah Kementerian Pendidikan layak mendapat sijil.
Katanya, bilangan sekolah yang mencapai 100 peratus layak menerima sijil meningkat kepada 21 buah berbanding hanya 16 buah pada 2022.
“Sebanyak 44 buah sekolah berjaya mencatatkan gred purata sekolah (GPS) lebih baik daripada 5.00 mata. Ini menggambarkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah melaksanakan tugas dengan baik dalam pendidikan.
“Pencapaian GPS ini telah membantu meningkatkan gred purata negeri (GPN) kepada 4.59 mata berbanding 4.77 mata pada SPM 2022 dan mengatasi gred purata nasional 4.60 mata. Keputusan SPM 2023 adalah yang terbaik sejak format baharu diperkenalkan.
“Seramai lima pelajar mendapat keputusan 10A+ dan 9A+ bagi kesemua mata pelajaran. Tahniah kepada pelajar yang cemerlang dan kepada yang kurang bernasib baik jangan kecewa kerana masih banyak pilihan untuk mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPN, Bukit Beruang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd. Ghazali Ahmad memaklumkan, tujuh mata pelajaran teras mencatatkan peratus lulus melebihi 78 peratus.
Menurutnya, bahasa Melayu mencatatkan peratus lulus tertinggi dengan 98.66 peratus diikuti sejarah (96 peratus), sains (91.11 peratus), pendidikan Islam (90.68 peratus), bahasa Inggeris (90.45 peratus), pendidikan moral (81.04 peratus) dan matematik (78.93 peratus).
“Gred purata daerah bagi tiga daerah di negeri ini juga menunjukkan peningkatan. Daerah Jasin menunjukkan peningkatan sebanyak 0.33 mata iaitu 4.23 mata berbanding 4.56 mata pada 2022 manakala Melaka Tengah meningkat 0.16 mata kepada 4.57 mata dan Alor Gajah menokok 0.14 mata kepada 4.92 mata,” katanya. – UTUSAN











