PONTIAN: Kerajaan menyasarkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu dijangka dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 10 juta tan, setahun.
Menurut beliau, Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (Petra) juga mahu meningkatkan kapasiti tenaga berkenaan dalam campuran bahan api sehingga 100 peratus pada 2050.
“Usaha ini penting bagi memastikan kelestarian alam terus terpelihara untuk generasi masa depan. Inisiatif ini menyokong saranan kerajaan untuk menggunakan biojisim dan biogas dalam penghasilan tenaga sebanyak 1.4 gigawatt pada 2050. Sektor tenaga negara mewakili 29 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menggajikan suku daripada tenaga kerja dalam negara.
“Oleh itu, perubahan dalam sistem tenaga bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan dan pembangunan ekonomi, tetapi juga kepada kehidupan rakyat yang bergantung kepada tenaga mampu milik dan berdaya harap,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Kombinasi Pembakaran Biojisim Malakoff Corporation Berhad di Loji Janakuasa Tanjung Bin, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Malakoff, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Fadillah yang juga Menteri Petra turut memberitahu, kementerian itu menyokong usaha pihak industri untuk meneroka penggunaan teknologi baharu seperti teknologi penghasilan hidrogen hijau, teknologi nuklear dan teknologi bateri penyimpanan tenaga berskala besar.
“Penggunaan teknologi baharu ini dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil sekaligus mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus pada 2030 seperti dimeterai dalam Perjanjian Paris 2016.
“Semua usaha yang dibuat ini selari dengan Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang ditelah dilancarkan tahun lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata, Malakoff menyasarkan penggunaan sebanyak 15 peratus biojisim dalam proses pembakaran di Loji Janakuasa Tanjung Bin, di sini menjelang 2027.
Beliau berkata, sasaran itu ditetapkan selepas kejayaan menjalankan percubaan dengan kombinasi pembakaran menggunakan biojisim sehingga 0.5 peratus pada Disember 2022 dan jumlah tersebut meningkat kepada 2 peratus pada suku pertama tahun ini.
“Usaha ini bertujuan mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG), meningkatkan kestabilan grid dan sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Peralihan Tenaga yang Adil (JET) yang menyasarkan peralihan tenaga yang lebih saksama dan mesra alam,” katanya. – UTUSAN










