Teresa Kok ‘selamatkan’ kolam takungan banjir Bohol

Teresa Kok ‘selamatkan’ kolam takungan banjir Bohol

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa (kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan Teresa Kok ketika meninjau tapak kolam takungan banjir Kampung Bohol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAH betul Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok Suh Sim tentang Projek Kolam Takungan Banjir (KTB) di Kampung Bohol, bersebelahan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dalam sesi lawatan tapak, Isnin lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya tidak pernah melihat Teresa seserius itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa juga tergamam mendengar bantahan beliau.

Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nampaknya macam sudah mati akal.

Siapa yang tidak marah jika seorang wakil rakyat yang berhak tahu sebarang projek pembangunan kerajaan di dalam kawasannya, tetapi, beliau sendiri tidak dilibatkan dalam sebarang urusan jauh sekali mendapatkan pandangan?

Ini, terus sahaja kerajaan mahu laksanakan projek tanpa ambil kira pandangan banyak pihak terutama penduduk sekitar, sehingga berlaku salah faham bahawa projek itu akan dijadikan kawasan perumahan.

Okay lah, kita tolak ke tepi tentang isu perumahan, sebab PTGWP sudah jelaskan KTB hanya dinaiktaraf untuk meningkatkan kapasiti kolam 7.5 kali ganda, termasuk menjadi lokasi aktiviti riadah penduduk berhampiran.

Apa keperluan mendesak sehingga KTB ini dinaiktaraf? Sebab kita sudah pernah berdepan banjir besar pada Disember 2021 dan Mac 2022 sehingga laluan di KESAS terputus! Mahukah jadi macam itu lagi?

Ikut pelan warta rizab sedia ada, keluasannya berukuran 61.35 ekar dengan kapasiti semasa 150,000m3. Bayangkan ia bersamaan 60 kolam renang bersaiz Olimpik.

Status rizab ini mahu dibatalkan dan dirizab semula di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN). Maka, saiz tanahnya akan meningkat kepada 63.45 ekar dengan kapasiti 1.13 juta m3 bersamaan 452 kolam renang bersaiz Olimpik.

Tetapi, sebanyak 4.4 ekar tanah pula akan ‘dikeluarkan’ daripada KTB yang diwarta dan akan diberi milik kepada pemaju untuk membina rumah dengan harga pasaran bebas, iaitu di Plot 5 dalam rancangan kerajaan. Jadi, saiz kolam berukuran 63.45 ekar itu hanya tinggal 25.38 hektar.

Difahamkan, sebuah syarikat swasta dipilih untuk menaik taraf kolam tersebut dan sebagai balasan, syarikat itu akan mendapat kelulusan penggunaan tanah kerajaan seluas 26.8 ekar untuk kediaman bercampur, namun perlu membayar premium tanah sekitar RM41.7 juta.

SAIZ KOLAM MENGECIL

Yang buat Teresa ‘bengang’ sebab saiz kolam akan mengecil walaupun saiz tanah meningkat, kerana sebahagian kolam takungan banjir diguna untuk pembangunan.

Sedangkan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, laporan teknikal dan reka bentuk Bohol disediakan oleh JPS bahawa kawasan itu memerlukan keluasan tanah 33.1 hektar (82 ekar) untuk memberi perlindungan pada tahap 200 ARI (purata selang ulangan).

Bagi Teresa, ini (25.38 hektar) jauh lebih kecil daripada keluasan tanah 33.1 hektar yang dimahukan JPS. Mana mungkin kerajaan dapat menyediakan perlindungan pada tahap 200 ARI dengan saiz kolam sekecil itu?

TIDAK TELUS

Saya pun mengekor Teresa selama separuh hari dalam sesi taklimat dan lawatan itu. Katanya, terdapat proses pemberimilikan tidak telus, malah tiada konsultasi dengan pemegang taruh dalam keadaan kerajaan mahu menaik taraf dan mereka bentuk semula KTB.

Projek itu juga dibuat tanpa berunding dahulu dengan beliau bersama ahli Parlimen Subang dan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara. Ini belum lagi masuk dengan isu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang tidak dimaklumkan, memandangkan trafik di tempat perumahan baharu akan masuk ke Puchong.

Jika kerajaan meluaskan kapasiti takungan kolam, hak lalu lalang pentadbir tanah (ROW) pula terpaksa diambil. Beliau sendiri ragu jika kerajaan sudah mendapatkan persetujuan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan KESAS? Apakah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersetuju memandangkan air banjir dari kolam takungan banjir Kampung Bohol akan disalur ke Sungai Klang?

EIA

Akhirnya, Teresa mendesak kerajaan menjalankan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) selaras warta kerajaan Persekutuan sebelum melaksana projek KTB Bohol.

Kalaulah syarikat pemaju korek kolam dalam-dalam untuk takung air banjir, 10-20 tahun akan datang, mahu tidak runtuhnya bangunan atau rumah berdekatan itu sebab keseimbangan tanah sudah terjejas?

“Saya marah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam projek ini. Mereka yang buat keputusan nampaknya tidak teliti. Kalaulah saya dilibatkan sejak awal, masalah sekarang tidak akan berlaku.

“Ini kawasan paling sensitif, bagaimana boleh saya tidak tahu? Berkali-kali saya bangkitkan hal ini di Parlimen, tetapi saya langsung tidak tahu proses penjualan tanah dan sebagainya. Ini dia (pihak bertanggungjawab) terus kepada Perdana Menteri dan tandatangan,” kata Teresa kepada Mingguan Malaysia.

Sekarang, Teresa ada urusan rasmi di China dan akan pulang ke Malaysia minggu depan. Saya percaya beliau akan mendapatkan perkembangan terbaharu tentang projek KTB Bohol ini.

Bulan depan Dewan Rakyat akan bersidang semula. Tentu Teresa sasarkan kepada Nik Nazmi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan isu ini. Saya berdoa sahajalah yang baik-baik supaya penduduk di Kampung

Bohol kekal tenang, sebab Teresa tahu apa yang beliau lakukan.

Nik Nazmi pula sudah akui kesilapan kerana kurangnya penglibatan bersama penduduk tempatan berhubung pembatalan pewartaan tanah bagi projek KTB Bohol. Apa pun, good job YB Teresa!. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN