TAIPING: Tiga maut sementara enam cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 262.5, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Changkat Jering semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 11.08 malam itu, seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki Perodua Bezza serta seorang wanita menaiki Honda Civic, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara, tiga kanak-kanak dalam Perodua Bezza dan seorang wanita dan dua kanak-kanak dalam Honda Civic mengalami kecederaan.
Mereka yang maut merupakan seorang lelaki dan dua wanita manakala seorang wanita dan lima kanak-kanak cedera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Trong, Mohd Shahidan Hassan berkata, sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.11 malam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki lima orang dan kereta Honda Civic dinaiki empat orang.
“Didapati dua mangsa tersepit dalam kenderaan terlibat dan anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mereka,” katanya hari ini.
Menurutnya, semua mangsa kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian, sebelum mengesahkan tiga daripadanya telah meninggal dunai.,
Jelasnya, semua enam mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Taiping bagi menerima rawatan manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN








