Syrul Ezwan gilap skil lakonan - Utusan Malaysia

Syrul Ezwan gilap skil lakonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meskipun nama pendatang baharu ini belum cukup kuat di arena hiburan tempatan, tetapi semangat juang dan cintakan bidang seninya harus diberikan pujian.

Ini dapat dibuktikan apabila di tahun keenam ini anak muda bernama Syrul Ezwan, masih lagi melibatkan diri di dalam liga lakonan sementelah saban hari industri kita dilambakkan dengan bakat-bakat baharu.

Walaupun pembabitan di sepanjang tempoh itu dia masih belum berjaya mendapatkan watak-watak utama, namun melihat pada progres kanvas seninya daripada sekecil-kecil peranan sehinggalah melakonkan watak pembantu pelakon utama, ia merupakan tanda aras yang cukup memberangsangkan.

“Apa yang dapat saya simpulkan setakat hari ini, ia bukanlah perjalanan yang cantik seperti mana nama seni itu sendiri. Sebaliknya cabang yang dipilih ini hakikatnya memerlukan kecekalan dan ketabahan di hati selain bersabar.

“Biarpun orang kata graduan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) adalah tiket untuk bergelar pelakon, mungkin pada asas lakonannya ia sedikit sebanyak membantu dalam mendalami watak dan skrip tetapi bukan jaminan ada tempat sebagai pelakon utama.

“Ilmu pengetahuan dan pengalaman teater berbeza dengan bidang lakonan luar pementasan. Lakonan seperti drama, telefilem dan filem memerlukan pemahaman dari aspek jenis-jenis shot kamera dan banyak lagi,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Menyelami jiwa seni Muhammad Syrul Ezwan Zamari, 25, katanya teater tidak akan pudar dari hati sementara lakonan di layar perak pula mengasah bakatnya untuk menghidupkan watak dengan lebih baik.

“Sukar untuk saya ungkapkan bagaimana cintanya saya terhadap bidang seni teater. Ia mengajar saya erti sebuah pengorbanan dan bagaimana hendak menghargai masa. Malahan eksplorasi pementasan juga meliputi kesemua aspek seperti pencahayaan, ruang, bunyi, dan banyak lagi dalam satu masa tanpa ‘cut’.

“Manakala lakonan di TV pula, watak-watak yang sedia ada dekat dengan masyarakat memberikan saya peluang untuk merasai kehidupan yang mereka lalui.

“Jadi sebelum ke set saya banyak menonton semua jenis filem dan drama untuk mengkaji cara gerak tubuh dan lakonan watak itu. Bukan setakat itu sahaja, sebagai pelakon juga saya banyak buat latihan bacaan skrip dengan pengarah sebab nak tahu apa yang dia mahukan,” ujarnya yang menjadikan pelakon Beto Kusyairi sebagai idola.

Katanya lagi, rajin menghadiri ujibakat lakonan juga merupakan faktor untuk seseorang pelakon itu menimba pengalaman dan mengajar diri supaya sentiasa siap dengan pelbagai watak yang bakal dilakonkan.

Jadi ‘Rider’

Jika tiada penggambaran, kongsi pelakon muda ini dia akan mencari rezeki dengan menjadi seorang penghantar makanan. Bersikap membumi dan tidak malu kerana apa yang penting adalah rezeki halal.

“Untuk menjadikan landasan lakonan sebagai punca rezeki utama bukannya mudah lebih-lebih lagi hampir setiap hari ada sahaja pendatang baharu yang mempunyai pakej rupa paras, tidak kurang juga juara yang lahir daripada program realiti menerima laluan ekspress untuk mendapat tempat dalam industri ini.

“Di sepanjang pandemik ini pula sudah enam bulan saya bekerja sebagai penghantar makanan sebab tiada tawaran berlakon. Sebulan dua emosi saya agak tertekan juga sebab kasihankan emak yang sara kehidupan keluarga. Alhamdulillah dengan kerja ini sedikit sebanyak dapatlah ringankan bebannya selain membantu dengan penjualan nasi lemak di kawasan rumah, Meru, Klang.

“Pernah juga dalam tempoh industri kreatif seni dibenarkan, saya terima bayaran serendah RM50 bagi penggambaran untuk dokumentari di Kuala Lumpur. Tiada makan dan minyak disediakan semua tanggungan sendiri, tetapi atas dasar minat dan enggan bakat malap saya terima juga,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×