JOHOR BAHRU: Selepas laksa Sarawak, Kementerian Perpaduan Negara mengangkat makanan tradisi rakyat Johor, kacang pool sebagai Makanan Warisan Kebangsaan sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2024 di sini, hari ini.
Sempena sambutan itu juga, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencipta Malaysia Book of Records (MBOR) bagi peserta teramai memakan menu kacang pool iaitu seramai 2,400 peserta.
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, kerajaan akan terus mengangkat identiti makanan Malaysia sebagai simbol khazanah warisan negara melalui inisiatif ‘Ini Warisan Kita.’
“Di Malaysia, kita dapat lihat rakyat pelbagai kaum dan latar belakang duduk dan makan bersama-sama, itu keunikan kita. Tiada beza atau sempadan antara satu sama lain.
“Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mahu mengangkat langkah ini sebagai satu cara memupuk perpaduan sesama kita,” katanya selepas menghadiri program Wacana Kelestarian Keselamatan, Perpaduan dan Kehormonian Negara di sini.
Mengulas sambutan SMP Peringkat Kebangsaan 2024 bermula semalam hingga Ahad ini, beliau berkata, pihaknya yakin mencapai sasaran 200,000 pengunjung.
Sambutan SMP Peringkat Kebangsaan 2024 akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok. – UTUSAN







