MEKAH: Mimpi datang ke Madinah dan bermain dalam Raudah ketika berusia 13 tahun kekal dalam ingatan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi sehingga kini.
Walaupun sudah lama mimpi tersebut berlalu, keinginan Muhammad Qayyim, 26, yang cacat penglihatan untuk berkunjung ke Madinah dan Mekah bagi menunaikan haji tidak pernah terpadam serta menjadikannya sebagai azam.
Menurut Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat antarabangsa ke-63 pada 2023 itu, keinginannya ke Mekah bermula pada 2011 iaitu ketika bulan Ramadan.
“Pada masa itu saya tunggu depan televisyen untuk menonton siaran langsung di Mekah dan tiba-tiba terlelap serta bermimpi. Dalam mimpi tu saya bermain dengan beberapa kanak-kanak di Masjid Nabawi dan saya nampak tiang putih di sekelilingnya.
“Kemudian ada satu imam menyuruh saya solat dan berdoa. Apabila terjaga, saya ceritakan mimpi itu kepada kedua ibu bapa secara terperinci termasuk jumlah tiang dalam Raudah,” katanya yang masih dapat membayangkan mimpi tersebut ketika memasuki Masjid Nabawi dan Raudah minggu lepas.
Muhammad Qayyim berkata, dia berpeluang menunaikan haji selepas ibu bapanya membuat tabungan dan mendaftar hasil wang kemenangan pertandingan, derma orang ramai, infaq dan sumbangan lain sejak dia kecil.
Dalam pada itu, katanya, melontar di jamrah antara yang dijangkakan agak mencabar ekoran masalah penglihatan dihadapinya.
“Cabaran mungkin semasa melontar jamrah sebab tidak tahu tempat dan berapa jauhnya. Saya takut terlempar batu kepada orang lain.
“Untuk ibadah seperti tawaf dan sa’ie mungkin tiada masalah kerana ibu bapa saya boleh membantu,” katanya yang berasal dari Ketereh, Kelantan.
Sementara itu, Muhammad Qayyim yang merupakan pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menyifatkan kesempatan untuk menunaikan ibadah haji adalah peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Kita seringkali lalai dalam mengerjakan ibadah, jadi Allah SWT panggil saya untuk mengingatkan saya agar dekatkan lagi diri saya kepada-Nya,” katanya. – UTUSAN










