PUTRAJAYA: Sejumlah RM3.1 juta nilai rampasan minuman keras dan rokok seludup direkodkan dalam satu operasi Op Taring bagi membongkar kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai itu di Bintulu, Sarawak pada 21 Mei lalu.
Operasi berkenan diselaraskan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), yang mana diketuai oleh Biro Siasatan Jenayah Hidupan Liar, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman serta Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Sarawak.
Menurut MCBA, serbuan di sebuah lokasi membawa kepada rampasan pelbagai jenama minuman keras dan rokok seludup selain menyita dua buah kenderaan yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan tersebut.
“Seramai enam individu, terdiri daripada empat warganegara Indonesia dan dua warganegara India ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini.
“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
MCBA dan PDRM melalui JKDNKA komited untuk terus bekerjasama dalam memerangi jenayah dan memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi. – UTUSAN










