Mualaf dan kefahaman wasatiyyah

Mualaf dan kefahaman wasatiyyah

Umat Islam yang menerima syariat Nabi Muhammad SAW ditafsir oleh para Mufasirun sebagai umat yang adil lagi terpilih. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Islam agama bersifat syumuliyyah dan kaffah dalam segenap aspek kehidupan mualaf secara khususnya dan umat Islam amnya.

Dalam Islam konsep wasatiyyah memainkan peranan penting dan perlu dianalisa secara holistik dan syumul dalam memahami perkataan wasatiyyah itu sendiri serta menafikan pemahaman konsep itu mengikut pengertian literal sahaja iaitu dalam skop kesederhanaan.

Keutamanaan mualaf dalam memahami konsep wasatiyyah menurut al-Quran dan al-Hadis secara konsisten bagi memastikan konsep ini difahami, dihayati, seterusnya diaplikasikan dalam segenap aspek kehidupan.

Mualaf dari definisi semasa adalah mereka yang dijinakkan hati menerima Islam dan melafazkan dua kalimah syahadah.

Pemberian zakat adalah bertujuan memotivasi dan memantapkan lagi keislamannya serta beramal dengan ajaran Islam.

Perhatian, kasih sayang dan bimbingan masyarakat dengan mempraktikkan konsep wasatiyyah, dapat membentuk mualaf sebagai modal insan berkualiti dalam dakwah Islamiah.

Pembetukan Ummatan Wasata dalam kalangan mualaf menatijahkan kelompok mualaf yang faham istilah wasatiyyah dalam tuntuntan konsep dalam Islam secara keseluruhan dari aspek kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan yang terpilih dalam urusan dunia dan akhirat.

Surah al-Baqarah ayat 143, jelas bahawa Allah SWT menyatakan umat Islam sebagai ummatan wasata, iaitu umat yang bersifat dengan segala sifat kesederhanaan, kecemerlangan, keadilan dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Sifat utama

Kenyataan ini menguatkan lagi hujjah Professor Dato’ Dr. Ismail bin Ibrahim (2011) dalam kertas kerja beliau yang bertajuk Konsep Wasatiyyah: Perspektif Islam menjelaskan bahawa ummatan wasata adalah sifat utama umat Islam iaitu umat Rasulullah SAW.

Umat Islam yang menerima syariat Nabi Muhammad SAW ditafsir oleh para Mufasirun sebagai umat yang adil lagi terpilih.

Namun selepas pelancaran Institut Wasatiyyah pada 17 Januari 2012 sekali dengan pelancaran Gagasan 1 Malaysia rancak dibahaskan isu berkenaan konsep ini.

Natijah kepada perbahasan berkaitan konsep wasatiyyah yang berpanjangan telah menimbulkan pelbagai polemik dan andaian kefahaman yang tidak tepat tentang konsep ini.

Kesannya ada sekelompok yang menolak habis-habisan wasatiyyah dalam kehidupan.

Ada sebahagiannya pula digelar liberal dan ektremis kerana menentang konsep berkenaan.

Dalam masa sama, ada yang berhujjah bahawa wasatiyyah adalah kaedah memberi peluang kepada penganut agama mengalami jalan mudah dalam isu-isu berkaitan agama.

Namun pada pendapat pengkaji, pendekatan ini telah lama diaplikasikan sejak zaman dakwah Rasulullah SAW hinggalah ia sangat bersesuain dengan senario dakwah masa kini terutama dalam kalangan mualaf yang berjinak-jinak dengan Islam dan akhirnya dengan memahami konsep ini mereka akan melihat konsep wasatiyyah ini amat relevan dalam kehidupan seorang muslim sejati.

Erti Wasatiyyah

Wasatiyyah (kesederhanaan) dikaitkan dengan kalimah wasatan dan kalimah muqtasid atau muqtasidah. Kalimah ini berasal dari tiga huruf iaitu waw, sin dan tha dan disebut sebanyak enam kali dalam al-Quran (Abu Bakar Hamzah 1985).

Dalam Bahasa Arab merujuk al-Mu’jam al-Wasit bermaksud al-Iqtisad, tasawwuf dan al-Ibtidal (Ibrahim Mustafa t.t : 738, 1031 & 588) dan definisi ini juga bertepatan dengan definisi dari Kamus al-Munjid fi al-Lughah yang bererti sederhana, pertengahan, berimbang dan adil serta perkataan Bahasa Arab yang sama dengannya ialah ‘Itidal bererti tidak melampau, ketat, rigid serta tidak cuai.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga oleh Teuku Iskandar (1994), perkataaan ‘wasat’ bermaksud tidak banyak selok belok, tidak rumit dan tidak sulit, manakala dalam Bahasa English, istilah ini menunjukkan makna kesederhaan sebagai moderate, middling, medium, modest, not extreme atau excessive.

Dr. Abdullah Md. Zin (2013) menyatakan perkataan wasatiyyah dari segi bahasa ia adalah kata terbitan dari perkataan al-wasat dan dari perkataan ini terbit pula perkataan al-Awsat iaitu isim tafdil yang bermaksud sangat adil dan tidak melampau.

Definisi ini mempunyai persamaan dengan definisi dinukil Dr. Zainal Kling (2011). Beliau menjelaskan wasat bermakna tengah iaitu tidak lebih, tidak kurang, biasa atau sedang dalam perkara atau tindak tanduk, manakala kata terbitan wasat bermaksud adil, terbaik, terpilih (pada kualiti), terhalus (pada seni) dan terhormat.

Kemuliaan

M. Abdul Quesem (1998) pula memetik penjelasan konsep wasatiyyah dari Iman al-Ghazali yang menyatakan wasatiyyah adalah satu keadaan pertengahan bersifat keutamaan atau kemuliaan dan ia terletak di antara dua sifat ekstrem yang tercela.

Ekoran sifat keutamaan atau kemuliaan dan sifat ekstrem yang tercela ini, menatijahkan kecacatan.

Beliau menjelaskan bahawa sifat kesederhaan ini dapat diidentitikan melalui prinsip umum yang ditetapkan oleh akal dan syariat Islam, manakala sifat pertengahan lazimnya relatif dan ia berbeza antara seseorang individu dengan individu lain dan dalam situasi berlainan mengikut kemampuan masing-masing dengan pendekatan terbaik dan teradil.

Wasatiyyah disimpulkan sebagai kesederhaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan insan berkualiti tinggi untuk mualaf, khususnya dalam kajian ini dalam menjalani kehidupan harian sama ada dalam aspek akidah, syariah dan akhlak tasawwuf mereka. Dengan memahami konsep wasatiyyah ia akan melestarikan kehidupan mualaf ke arah kesejahteraan hidup dan menjamin kualiti hidup yang sesuai dengan prinsip umatan wasatan seperti mana asas wasatiy dari firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus ), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah SAW pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

Martabat

Ayat ini membuktikan Allah SWT meninggikan martabat hambaNya dengan sebutan ‘ummatan wasata’ iaitu umat yang hidup dalam keadaan kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan manjadi umat yang terpilih dan berkualiti tinggi.

Abdullah Basmeih (2001) dalam tafsirnya menyatakan ‘ummatan wasata’ adalah umat pilihan adil dan juga bermakna umat pertengahan yakni pertengahan dalam segala perkara yang dilakukan, tidak ekstrem dan tidak keterlaluan dalam menganut agama kepercayaannya.

Demikian juga dengan aspek akhlak dan amalannya segalanya dalam keadaan pertengahan sama-sama dipandang dan dititikberatkan, dipelajari dan diusahakan meliputi soal-soal dunia dan akhirat.

Setiap individu yang berdiri secara pertengahan dan menngambil tahu secara mendalam dan mengambil berat kepada perkara-perkara berlaku di sekelilingnya.

Pertimbangan dan pengetahuan mengenai baik buruk sesuatu perkara adalah adil, benar dan sah.

Maka, layaklah individu ini memberi keterangan kepada orang-orang yang keadaannya tidak seperti dirinya sendiri.

PENULIS adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×